Loading...
Oleh Mohd Haizal Yatiran
SHAH ALAM: PKR perlu menyiasat dakwaan tandatangan palsu Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli pada surat pemecatan keahlian Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard daripada parti itu.
Penganalisis politik, Prof. Madya Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata dakwaan itu serius kerana membabitkan pemimpin kanan PKR dalam isu rasmi parti.
"Satu tindakan yang wajar perlu diambil oleh kepimpinan PKR untuk menyiasat perkara ini dengan teliti untuk mengetahui adakah surat itu benar-benar dikeluarkan oleh Rafizi," katanya ketika dihubungi Antarapos hari ini.
Terdahulu Chegubard memberitahu Antarapos beliau dihubungi kakitangan Ibu Pejabat PKR pada 26 Ogos (Jumaat) lalu dan dimaklumkan berita mengenai pemecatannya.
Selepas membuat sedikit penyelidikan, Chegubard mendapati tandatangan Rafizi pada surat pemecatannya adalah palsu.
Justeru Chegubard menempelak Rafizi yang sehingga kini berdiam diri walaupun mengetahui tandatangannya dipalsukan oleh pihak tertentu dalam usaha menutup mulutnya perihal kontroversi Paya Indah Wetlands.
Chegubard sebelum ini mendedahkan tindakan kerajaan negeri PKR di Selangor yang dipimpin Datuk Seri Azmin Ali meluluskan pengezonan semula zon hijau di tapak Paya Indah Wetlands yang kemudiannya membawa kepada kelulusan ubah status tanah lot 68054, milik Gamuda Bhd.
Tindakan meluluskan dua permohonan itu dibuat secara tergesa-gesa sebaik sahaja Azmin diangkat menjadi menteri besar, dakwa Chegubard.
Bekas ketua Cabang Rembau itu kemudiannya membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), selepas dicabar Azmin.
Mengulas perkembangan itu, Ahmad Marthada berkata jika tindakan memecat Chegubard diambil semata-mata untuk menutup mulut reformis itu, PKR hanya mencalarkan integritinya sendiri.
"Tindakan membuang (keahlian PKR) itu diambil seolah-olah satu cara untuk mendiamkan beliau (Chegubard). Dan ini bertentangan dengan prinsip dan perjuangan PKR yang cuba menekankan kepada isu-isu ketelusan dalam urus tadbir dalam kerajaan.
"Ini bagi gambaran bahawa apa yg diperjuangkan PKR itu tidak sama apa yang mereka lakukan," tambah Marthada.
Loading...
0 Response to "Siasat tandatangan palsu Rafizi dalam surat pecat Chegubard"
Posting Komentar