Loading...

HUKUMAN PENJARA DIKEKALKAN, LAWAN NAJIB PUN KEKAL JUGA

Loading...


HUKUMAN PENJARA DIKEKALKAN, LAWAN NAJIB PUN KEKAL JUGA

Berita hukuman penjara saya dikekalkan sebenarnya bukan lagi berita. Ia satu kenyataan yang telah lama saya dan keluarga terima.

Saya berterima kasih dan terharu di atas segala doa, kata-kata semangat dan simpati semua rakyat Malaysia setiap kali saya berdepan dengan tindakan mahkamah atau hukuman. 

Ikhlasnya saya tidak merasakan saya layak diberikan pujian-pujian itu dan kadang-kadang saya rasa bersalah juga apabila ramai yang menyebut soal pengorbanan dan harga yang saya perlu bayar.

Sebab itu saya selalu rasa kurang selesa dengan pelbagai kata-kata baik itu dan selalu juga saya tidak tahu bagaimana mahu memberi reaksi kepada kata-kata seperti itu.

Kadang-kadang saya rasa bersalah kerana saya tidak pernah ada niat untuk “berkorban” apabila saya mengambil tindakan-tindakan tersebut yang menyebabkan saya berdepan dengan kekuasaan lawan politik saya. Saya juga tidak pernah merancang tindakan-tindakan tersebut bagi tujuan-tujuan yang lain (untuk dapat nama, dapat jawatan atau popular atau lain-lain).

Sebenarnya saya ada motif yang agak pentingkan diri apabila saya mengambil tindakan-tindakan itu. Betul selalunya saya kasihankan orang yang datang berjumpa saya meminta saya membawa sesuatu isu, tetapi keputusan untuk mengambil tindakan yang ada risiko pemenjaraan dan saman adalah didorong oleh kepentingan diri saya sendiri.

Saya bersyukur kerana pada satu peringkat, saya faham bahawa harta dan pangkat dunia tidaklah begitu bermakna kepada saya. Saya dilahirkan orang susah, walaupun ada yang merasakan saya berkorban meninggalkan gaji yang besar, sebenarnya keadaan saya sekarang adalah tersangat baik mengenangkan dari mana saya bermula. Maka saya faham pada usia yang muda untuk mengimbangkan harta dan pangkat; dengan satu perkara yang jauh lebih penting kepada saya.

Ketenangan.

Harta jiwa yang tenang adalah harta yang jauh lebih besar kepada saya dari wang atau pangkat. Semua tindakan saya didorong oleh keinginan saya untuk mendapat ketenangan dalam hidup saya dengan keluarga saya.

Sebab itu setiap kali saya berdepan dengan keputusan yang ada risiko, tindakan saya menjadi mudah kerana saya tahu saya mendapat ketenangan apabila saya tidak berbohong, apabila saya telah menjalankan amanah saya dan apabila saya membela yang lemah (kerana saya juga membesar di kalangan mereka yang lemah).

Tindakan-tindakan saya bukanlah sebab saya lebih baik dari yang lain atau saya seorang pejuang. Saya hanya seorang manusia, seperti yang lain, yang mahukan sesuatu dari tindakan saya. Bezanya saya memilih ketenangan.

Kerana ketenangan itu membebaskan saya dari rasa takut dan bimbang. Rasa takut dan bimbang merosakkan kebahagiaan kalau pun saya manusia yang paling kaya atau berkuasa di dunia ini.


Saya terharu kerana ramai sahabat-sahabat yang saya kenali dan tidak kenali yang memberikan kata-kata baik. Cuma saya kurang selesa kerana saya tahu saya tidak menganggapnya pengorbanan, tetapi tindakan yang ada kepentingan juga kepada diri saya.

Sebab itu saya harap sahabat-sahabat tidak perlu bimbang atau sedih.

Saya tidak sedih dan hukuman penjara yang dikekalkan itu tidak sedikit pun membantutkan kerja saya di INVOKE Malaysia dengan dibantu oleh sekumpulan anak-anak muda yang cerdik, bersopan, ada rasa tanggungjawab dan yang paling berbilang bangsa pernah ada dalam mana-mana pasukan politik di negara ini.


Hari itu selepas hukuman penjara saya dikekalkan, saya kembali ke pejabat untuk mengikuti perkembangan kempen dengan pasukan INVOKE Malaysia seperti biasa.

Kumpulan IT/System memberi laporan kerja membangunkan satu sistem yang sangat penting untuk mengelakkan penipuan pilihanraya. Berpuluh tahun kita bercakap mengenai penipuan pilihanraya, saya bosan apabila kita hanya bercakap tetapi tidak mengambil langkah menutup kelemahan untuk menyukarkan sebarang cubaan penipuan.

Kami juga memantau kempen maya di media sosial untuk mengenal pasti isu yang penting, menguji tindak balas pengundi kepada sesuatu isu dan menilai keberkesanan kempen maya Dato’ Seri Najib. Saya boleh sebut di sini bahawa setiap minggu kami tersenyum lebar kerana kempen maya Dato’ Seri Najib dan Umno/BN sebenarnya tertinggal jauh di belakang berbanding apa yang diusahakan melalui INVOKE dan pimpinan PH yang lain.

Saya sempat berbincang dengan Madiha dan Shaun, dua orang tenaga utama yang menggerakkan sukarelawan INVOKE untuk memastikan gelombang rakyat biasa dibina mengikut jadual.

Hukuman penjara tidak memperlahankan perancangan saya dan INVOKE untuk menjayakan #ProjekBuangNajib. Saya juga tahu kalau pun saya direhatkan seketika, anak-anak muda yang menggerakkan INVOKE adalah yang paling pintar, paling komited dan yang paling gila saya pernah kumpulkan (mengalahkan kegilaan saya sendiri), maka kempen rakyat menukar kerajaan akan tetap berjalan.

Cuma saya berharap lebih ramai rakyat Malaysia memilih ketenangan berbanding ketakutan, rasa bimbang atau terlalu berkira-kira hal harta kebendaan dan pangkat.

Anda tidak perlu ke penjara seperti saya untuk mempertahankan ketenangan jiwa.

Anda hanya perlu mendaftar menjadi sukarelawan INVOKE untuk mula menyumbang 2-3 jam seminggu masa anda membantu anak-anak muda ini menewaskan Najib.

Daftar sekarang di bit.ly/JomJoinINVOKE
Atau jika anda telah mendaftar tetapi belum pernah menyertai kempen mingguan, ini masanya anda memahami makna ketenangan yang saya sebutkan tadi.

Anda perlu selalu masuk login ke Sistem Pengurusan Sukarelawan INVOKE, klik http://ift.tt/2wzcYgr dan pilih aktiviti kempen yang terdekat dan sesuai dengan anda.

Sebarkan mesej terima kasih saya ini kepada seberapa ramai rakyat Malaysia.

Rafizi Ramli
Sukarelawan INVOKE #00001
Loading...

Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "HUKUMAN PENJARA DIKEKALKAN, LAWAN NAJIB PUN KEKAL JUGA"

Posting Komentar