Loading...
ALOR SETAR - Lebih 100 peserta terdiri daripada ahli dan pemimpin Pakatan Harapan, Pas dan NGO mengadakan himpunan mendesak kerajaan mengumumkan siapa sebenarnya ‘Malaysian Official 1’ (MO1) selain mahu individu terbabit diadili dalam negara.
Pengarah program yang juga Ketua Pemuda Amanah Kedah, Asmirul Anuar Aris berkata, perhimpunan yang berlangsung selama 30 minit itu adalah untuk sedarkan rakyat tentang penyelewengan melibatkan MO1.
“Kita mahu ajak rakyat bangkit menyuarakan desakan kepada pihak berkuasa, seperti polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara dan kerajaan untuk menahan MO1 untuk diadili. Flashmob ini akan diteruskan sebelum diadakan perhimpunan 27 Ogos di ibu negara,” katanya.
Himpunan aman di hadapan Aman Central turut membawa sepanduk bertulis 'Tangkap MO1’ selain peserta melaungkan ‘Tangkap MO1'.
Pengerusi Amanah Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, pihaknya menggesa laporan didedahkan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat diambil serius dan mahu kerajaan membuka semula siasatan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Suatu ketika sudah ada kertas pendakwaan terhadap Najib berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Namun Najib menggunakan kuasa merombak pengurusan tertinggi SPRM, Bank Negara, Jabatan Peguam Negara dan Jawatankuasa Kira- Kira Wang Negara (PAC),” katanya.
Menurutnya, apa yang berlaku itu menjadi kesalahan di luar negara sehingga negara terlibat membuat siasatan dan failkan pendakwaan, sebaliknya tiada tindakan diambil dalam negara.
Sementara Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar membidas Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Ir Nawawi Ahmad yang anggap pembangkang memanipulasi isu berkaitan kenyataannya berhubung MO1 adalah Yang di-Pertuan Agong.
“Beliau sering buat kenyataan tidak bijak dan kemudian menafikan. Sepatutnya Nawawi segera mohon ampun atas keceluparan beliau, bukan tunggu arahan pihak Istana. Beliau mempersenda Agong dan rakyat Malaysia apabila menafikan kenyataannya, kemudian cuba memanipulasi perlembagaan pula,” katanya.
Menurutnya, Nawawi memanipulasi perlembagaan Persekutuan Perkara 39 dan 40, di mana kuasa Eksekutif Persekutuan terletak bawah Agong, pentadbiran kerajaan Persekutuan dan urusan eksekutif adalah bawah perdana menteri dan jemaah menteri yang akan memberikan nasihat kepada Agong.
“DOJ sebut MO1 penjawat awam, terbukti bukan Agong kerana baginda bukan penjawat awam,” katanya. - SH
Loading...
0 Response to "Flasmob Himpunan desak tangkap MO1 hari ini di Alor Setar"
Posting Komentar