Loading...
Kelab Veteran Umno Malaysia bertindak “durjana” apabila mendakwa seorang menteri melindungi mufti Perlis menyebarkan fahaman Wahabi, kata Datuk Seri Shahidan Kassim.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu juga berkata kenyataan setiausaha Veteran Umno “menembak parti sendiri” apabila mendakwa menteri agama tidak berjaya menghalangnya.
Bekas menteri besar Perlis itu mencabar Datuk Mustapha Yaakub menamakan menteri yang didakwanya melindungi Datuk Mohd Asri Zainul Abidin.
“Sebut siapa menteri tersebut dan kemudahan apa yang digunakan untuk mempromosi dakyah Wahabi? Apakah Wahabi itu diharamkan?” kata Shahidan kepada ProjekMMO.
“Kenalah jumpa dengan menteri itu, bukan cakap secara terbuka. Ini tidak, tubuh persatuan veteran untuk tembak Umno.
“Tembaklah pembangkang, tembak PAS ke, sedangkan tujuan ditubuhkan Veteran Umno adalah untuk menguatkan Umno.”
Shahidan menggesa Mustapha, yang juga timbalan presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja), agar lebih berusaha untuk menyatukan ahli-ahli Umno.
“Tubuh satu persatuan, lepas itu tembak Umno. Ini satu perbuatan durjana,” katanya.
Menteri itu diminta mengulas kritikan Mustapha kelmarin yang mendakwa Asri menentang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan menyokong demonstrasi mahasiswa “Tangkap MO1”, Sabtu lalu.
Tidak jelas kenyataan asal Asri yang didakwa menentang Najib, namun mufti itu pada 28 Ogos menulis ringkas begini di Facebook: “Kibarkan jalur gemilang kita, bangkitlah membela amanah bernegara, tahniah mahasiswa!”
Dalam kritikannya yang panjang terhadap mufti Perlis, Mustapha memberi amaran tentang kegiatan kumpulan itu dalam Umno, termasuk menteri yang tidak dinamakan tetapi didakwa melindungi Asri.
Dihubungi hari ini, Shahidan juga berkata sebagai seorang veteran dalam Umno perlulah bersikap “anak jantan” dan bukannya “menembak” sesuka hati.
“Orang yang macam mana boleh dianggap veteran [Umno]? Berapa tahun bertugas [dalam Umno] boleh jadi veteran?
“Veteran kenalah berkomunikasi sebagai anak jantan sikit tapi apakah tahap setiausaha Veteran Umno ini kurang anak jantan.
“Yang kedua, apakah kerja veteran Umno untuk menegur hingga ke peringkat itu. Bukan tugas veteran Umno untuk menegur [secara terbuka], kena jumpa menteri,” katanya.
Ketika masih memimpin Perlis, Shahidan pertama kali melantik Asri sebagai mufti negeri itu mulai 2006. Selepas pilihan raya 2008, tokoh politik itu digugurkan sebagai menteri besar.
- themalaymailonline.com
Loading...
0 Response to "[UMNO "WAHABI" LAWAN UMNO "ASWAJA"?] Veteran Umno ‘durjana’, Shahidan ulas isu Wahabi"
Posting Komentar