Loading...
Ayah Adun DAP direman tujuh hari
GEORGETOWN - Bapa Adun Sungai Pinang, Lim Siew Khim ditahan reman tujuh hari bermula hari ini hingga Jumaat depan.
Lim Keat Seong, 68, ditahan bagi membantu siasatan kes penerimaan wang suapan dalam pemilikan hartanah rumah kos rendah di Sungai Pinang.
Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah (Jenayah), Muna Maria Azmi membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman Keat Seong bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Keat Seong ditahan SPRM di rumahnya semalam dan dibawa ke pejabat SPRM Pulau Pinang untuk diambil keterangan.
Difahamkan, dia memberi keterangan lebih lima jam bermula jam 12.50 tengah hari sehingga 5 petang di pejabat SPRM negeri di Jalan Sultan Ahmad Shah di sini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan meminta wang suapan itu.
Keat Seong hadir bersama-sama anak lelakinya dan seorang peguam dan difahamkan SPRM turut menjalankan siasatan di rumah lelaki berkenaan di sini kelmarin.
Sehingga kini, kira-kira 10 individu sudah dipanggil SPRM untuk diambil keterangan sejak isu penerimaan wang suapan bagi mendapatkan rumah mampu milik itu didedahkan Gerakan minggu lalu.
Isu itu terbongkar selepas Naib Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong mendedahkan klip video yang memaparkan rakaman perbincangan mengenai pembayaran untuk mendapatkan rumah kerajaan negeri.
Perbualan dalam video itu menunjukkan rakamannya dibuat tahun lalu dengan bapa Adun berkenaan dilihat bersama-sama seorang orang tengah sedang melayan aduan individu yang dipercayai telah membuat pembayaran, namun tidak mendapat rumah itu.
Dalam satu sidang media lain, Siew Khim menafikan pembabitannya dan juga menjauhkan diri daripada dakwaan rasuah yang mengaitkan bapanya dalam kes seorang pembeli mendapatkan sebuah rumah kos rendah.
Beliau turut kecewa dengan klip video yang tersebar dalam media sosial sejak lima hari lalu itu.
Loading...
0 Response to "AIIIIYAH, WANG SUAPAN ?"
Posting Komentar