Loading...
Oleh Wan Anis Ilyani Wan M Azhar
SHAH ALAM: Amanah tidak menolak syor Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) supaya kesemua parti pembangkang membentuk satu barisan yang bernaung di bawah satu logo demi berdepan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
Pengarah Komunikasinya, Khalid Samad bagaimanapun berkata sebarang ketetapan muktamad perlu dibincangkan bersama agar perbezaan politik dapat dielakkan.
"Pada dasarnya kita bersetuju dan inilah yang kita gelarkan sebagai gabungan dan kerjasama secara mega. Amanah tidak ada masalah dengan hal itu dan mengalu-alukan cadangan itu," katanya kepada Antarapos, hari ini.
Semalam Naib Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata syor gabungan yang dipanggil Barisan Rakyat itu akan disuarakan kepada ketua-ketua parti dalam waktu terdekat.
Gabungan berkenaan penting supaya kesemua parti pembangkang dapat melawan BN dengan satu logo yang sama, sekaligus tidak mengelirukan pengundi.
Gabungan itu juga dikatakan tidak akan menyisihkan PAS, yang kini bergerak sendirian selepas tidak menganggotai Pakatan Harapan (PH) ekoran terkuburnya Pakatan Rakyat (PR) Jun tahun lalu.
Diajukan hal itu, Khalid bagaimanapun memberi amaran awal kepada bekas partinya supaya teguh dengan komitmen bersama, sekiranya bersetuju untuk bersama dalam gabungan baru itu nanti.
"Sekiranya mencapai kemenangan, jangan berubah dan bawa kerusi membentuk gabungan dengan pihak lain. Maknanya, kena ada komitmen terhadap gabungan tersebut untuk membentuk kerajaan baru bersama atas dasar-dasar yang dipersetujui bersama.
"Bukan sekadar bertanding dengan sokongan parti-parti rakan, kemudian apabila dah menang (rasa) berhak ikut kehendak masing-masing. Tak boleh," tegas Ahli Parlimen Shah Alam itu.
Mukhriz pada satu sesi dialog bersama penyokong Bersatu, semalam turut mendedahkan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan perjumpaan dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dengan menyifatkan hasil perbincangan itu sebagai positif.
Loading...
0 Response to "Amanah setuju gabungan baru pembangkang, tapi beri amaran jaga-jaga dengan PAS"
Posting Komentar