Loading...
Penguatkuasaan agama perlu guna pendekatan dakwah
IPOH – Modus operandi kakitangan penguatkuasaan Jabatan Agama Islam hendaklah berpandukan pendekatan preventif dan bukannya punitif.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, ketika memenuhi tugas dan melaksanakan operasi, gunakan pendekatan berdakwah menyeru ke jalan kebaikan, memanggil pihak melakukan kesilapan untuk diberikan nasihat secara tertutup, mengaturkan sesi bimbingan dan kaunseling.
Menurut baginda, tindakan secara kasar dan keras yang merendah-rendah dan memperkecilkan sama ada secara lisan atau perbuatan tidak harus dilakukan mana-mana pegawai penguatkuasaan agama kerana boleh mendatangkan rasa hina dan aib orang lain.
“Pegawai-pegawai penguatkuasaan agama berada di barisan hadapan dan terdedah kepada penilaian umum, keindahan Islam itu wajib dicerminkan dengan sifat-sifat berhemah ketika memenuhi tugas dan melaksanakan operasi.
“Perbuatan pegawai penguatkuasaan, memperlihatkan kuasa sehingga meminggirkan adab, tertib dan sopan, bukanlah budaya yang dianjurkan Islam,” titah baginda selepas menyempurnakan pelancaran logo dan pelan strategik Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (Maipk), hari ini.
Logo berkenaan dilakar untuk memberi satu identiti kepada Maipk dan komponen pelan strategik yang digariskan mengandungi rangka kerja tindakan dalam usaha mencapai misi dan objektif Maipk.
Sultan Nazrin bertitah, intipati penting adalah peranan Maipk mengurus dan membina persepsi positif dalam kalangan masyarakat Islam dan bukan Islam.
Justeru baginda mahu, pengendalian dan pengurusan media diurus secara profesional, supaya media dapat membantu membina imej dan reputasi Maipk.
“Amatlah silap, jika organisasi bersikap pasif dan berandaian bahawa masyarakat akan dapat memahami niat baik yang mahu mereka laksanakan.
“Amalan yang kurang bersifat antisipasi, tidak proaktif atau lebih cenderung bersifat defensif, selepas berlakunya sesuatu ketidakfahaman, sudah tidak sesuai lagi.
“Era ini adalah era yang menuntut pengurusan mengamalkan budaya ketelusan dan keterbukaan maklumat,” titah baginda.
Loading...
0 Response to "DARI DULU HINGGA SEKARANG AGAMA TIADA PERUBAHAN"
Posting Komentar