Loading...

Kegigihan Chegubard menguji kekuatan moral PKR

Loading...
Oleh Lokman Ramlee
Post Pic
 
 
[ULASAN] Badrulhisham Shahrin atau lebih dikenali sebagai Chegubard bukan lagi ahli PKR. Surat terakhirnya kepada Presiden parti itu, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail meminta penjelasan pemecatannya tidak berjawab.
 
Bagaimanapun ini nampaknya tidak menggusarkan aktivis politik yang mendakwa pernah termasuk dalam kumpulan pembuat dasar atau “duduk dalam kelambu” parti itu. 
 
Chegubard terus menegur dan membidas apa yang dilihatnya tidak kena dengan parti diasaskan untuk melakukan reformasi terhadap sistem hidup di negara ini.
 
Dalam kenyataan medianya yang mutakhir, Chegubard mengingatkan betapa herotnya sikap dan pendirian politik pimpinan PKR.
 
Beliau mendakwa apabila Datuk Seri Shafie Apdal keluar Umno kerana mengkritik isu1MDB dan derma RM2.6 billion yang dikaitkan dengan Datuk Seri Najib Razak, maka pimpinan PKR menyambutnya bagai seorang wira. 
 
“Ini amat pelik dan penuh hipokrasi kerana bila saya sendiri bercakap soal korupsi Azmin Ali yang merupakan Timbalan Presiden PKR saya dipecat dan dituduh memburukkan imej parti dan memecah-belahkan parti,” katanya. 
 
Lantas Chegubard mempersoalkan di mana dan apakah bezanya PKR dengan Umno dalam perkara ini?
 
Namun kecenderungan meraikan Shafie Apdal sebenarnya merugikan, malah membawa bala politik kepada PKR sendiri.
 
Ia sekaligus mempamerkan betapa penilaian dan bacaan politik PKR dangkal. Mereka seolah-olah rabun akan natijah politik isu berkenaan kerana sibuk meraikan sesiapa sahaja yang memusuhi musuhnya iaitu Umno.
 
“Antara hujahnya konon Shafie akan membawa lari orang-orang Umno keluar dan Umno khususnya di Sabah akan lumpuh.
 
“Minggu lepas Shafie mengumumkan menubuhkan parti, belum pun apa-apa lagi bukan orang Umno keluar parti tetapi ADUN PKR diculik Shafie,” kata Chegubard.
 
Chegu Bard membidas sebagai pelik sikap Presiden PKR memuji tindakan ADUN yang menjadi Naib Presiden lantikan PKR itu sebagai ‘betul’ dan menyertai parti tempatan Sabah kononnya bagi menumpukan isu tempatan. 
 
“Ini secara tidak langsung mengiktiraf tindakan tersebut dan membayangkan Keadilan gagal bertindak sebagai parti Sabah.
 
“Terkini dalam masa terdekat beberapa lagi ADUN dan pimpinan PKR Sabah akan umum bersama parti Shafie dan dijangka PKR pula akan lumpuh di Sabah,” katanya.
 
Chegubard terkenal dengan aktiviti membongkar pelbagai skandal dan isu yang dianggapnya merugikan rakyat dan maklumat yang diperolehinya kali ini menunjukkan PKRlah yang terkesan sikap pimpinan tertingginya. 
 
Yang lebih menggusarkan Chegubard ialah “penghijrahan” beberapa pemimpin PKR Sabah ke parti Shafie itu didorong oleh dedak yang ditabur beberapa tokoh korporat negeri itu. 
 
Jika maklumat itu benar bermakna segala tuduhan PKR terhadap penyokong-penyokong tegar Umno yang didakwa mudah diumpan dedak sebenarnya adalah masalah yang sama dihadapi PKR di Sabah kini.
 
“Ini penting kerana benar perubahan perlu ‘diasak’ tetapi adakah perubahan yang dicitakan boleh dicapai dengan cara begini? Jangan sampai lari dari mulut harimau masuk mulut buaya...,” kata Chegubard.
 
Beliau juga mendakwa bahawa ada pimpinan PKR yang menghubunginya supaya beliau tutup mulut dan menerima pemecatannya dari parti itu.
 
“Saya diam. Namun keadaan tidak berubah. Kartel Azmin menyerang saya dengan fitnah termasuk fitnah seks yang jijik (contohnya oleh AMK PJS).
 
“Malah terbaru ada yang menghubungi keluarga saya kononya mereka ada bukti kerana mereka memasang penyiasat pensendirian mengekori saya. 
 
“Itu belum lagi beberapa teman yang rapat dengan saya diugut dengan pelbagai cara agar menjauhi saya. Perangai pemimpin seperti ini lebih buruk dan jijik dari pemimpin Umno,” katanya.
 
Chegubard adalah termometer moral PKR. Bagaimanapun adalah agak jelas pimpinan PKR tidak selesa kehadiran dan fungsi yang dimainkannya dalam parti hingga sanggup memecat keahliannya. 
 
“Presiden PKR di bawah kawalan dan tekanan kartel Azmin yang boleh memuji tindakan ADUN keluar PKR, wajib menjawab surat saya. 
 
“(Dalam) 48 jam jika tidak mendapat jawapan jangan salahkan saya kerana membuat aduan polis berkenaan tandatangan palsu dan laporan ROS juga. 
 
“Saya tegaskan saya bercakap soal keadilan terhadap diri saya yang bercakap mendedahkan berkenaan korupsi Azmin yang saya buktikan, adakah ia salah?,” katanya.
 
Kenyataan media berkenaan dibuat pada Selasa, 27 September lalu. Ini bermakna besar kemungkinan, Chegu Bard sudahpun ke balai polis membuat laporan perihal tandatangan palsu digunakan pegawai PKR dalam pengurusan kes pemecatannya.
 
 
Loading...

Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "Kegigihan Chegubard menguji kekuatan moral PKR"

Posting Komentar