Loading...

PILIHANRAYA KALI NI TERPULANG PADA PAS ?

Loading...
PRU14: Pembangkang boleh menang jika...
Ku Li
Ku Li
 
SEMALAM, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkongsi pandangan mengenai sikap pemimpin politik masa kini yang lebih memilih wang berbanding berkhidmat untuk rakyat.

Dalam wawancara yang sama, Tengku Razaleigh menjawab persoalan mengenai pendirian beliau dalam isu Rang Undang-Undang Persendirian (RUU) 355. Ikuti pandangan beliau mengenai politik dan ramalan beliau mengenai PRU14.

Apa pendirian Tengku terhadap cadangan Rang Undang-Undang Persendirian (RUU) 355 yang bakal dipinda nanti?

Nombor satu, saya sudah bersumpah, sebagai ahli parlimen, untuk mempertahankan Perlembagaan Negara. Perlembagaan Negara adalah perlembagaan yang direka oleh negara, setelah berunding dengan semua pihak (berkaitan). Ia mengambil kira semua pandangan dan memorandum, petisyen-petisyen  untuk dijadikan undang-undang tubuh negara.

Kita ini tidak semua Melayu. Kita ini 'Melayu Perlembagaan'. Kalau tidak ada perlembagaan kita tidak Melayu. Kita orang Melayu dengan adat resam Melayu dan beragama Islam. Kalau salah satu itu tidak ada kepada kita... katalah kita ini Melayu tetapi bukan beragama Islam. Kalau kita beragama Islam, kita tidak ikut adat resam Melayu, kita ini bukan Melayu mengikut takrif yang ada dalam perlembagaan dan samalah dengan negara kita semuanya bergantung kepada perlembagaan.

Kita ada Yang di-Pertuan Agong, ada raja-raja Melayu walaupun raja-raja Melayu yang menubuhkan Malaya Merdeka. Raja-raja Melayu juga telah menerima hakikat bahawa menjadi raja perlembagaan. Oleh sebab itu kita kena ikut apa yang perlembagaan kata. RUU yang hendak dibentangkan ini yang diperjuangkan sangat oleh Pas. Jadi ada sesetengah orang tafsir kalau kita tidak ikut apa yang dibentangkan dalam Parlimen, dia bukan Islam tulen.

Saya tidak tahu lah. Jadi persoalan saya,  orang Islam yang tidak ikut dia sebelum ini macam mana. Tok Guru (Datuk) Nik (Abdul) Aziz (Nik Mat) macam mana. Tok Guru Nik Aziz meninggal dunia sebelum ada undang-undang ini. Saya rasa pelik sikit. Sebab ini undang-undang manusia yang bawa. Dalam Parlimen di bawah undang-undang perlembagaan ini direka oleh manusia. Kata undang-undang tuhan.

Satu perkara lagi pula, kalau kita tengok pada perlembagaan kita, raja-raja mesti lulus benda itu. Setuju, tidak setuju undang-undang itu di bawah Majlis Raja-Raja. Kerana raja berkuasa atas undang-undang, bukan kerajaan negeri, bukan parti politik. Jadi adakah raja-raja sudah bersetuju. Kalau seorang raja tidak bersetuju tidak boleh bawa. Adakah benda ini sudah dibawa kepada Majlis Raja-Raja sebelum dibawa ke Parlimen. Saya hendak tanya ini semua dahulu, kerana saya bersumpah untuk mempertahankan Perlembagaan Negara.

Nada Tengku menggambarkan seolah-olah Tengku tidak akan memberi undi?

Bagi saya, saya tidak kisah, boleh menyokong atau tidak menyokong. Saya orang Islam. Saya mati sebagai orang Islam. Lidah saya tidak cacat, tidak berubah. Sama ada saya menyokong atau tidak menyokong saya hendak tengok dulu semua ini berlaku atau tidak berlaku.

Jadi apakah perkara ini bertentangan dengan perlembagaan atau tidak. Kalau dibawa tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja terlebih dahulu, ini mencabuli kuasa raja-raja. Maka saya rasa tidak sah. Jadi bagaimana saya hendak menyokong kerana ia bertentangan dengan Perlembagaan Negara.

Ini bukan soal parti. Parti boleh perintah saya. Boleh jadi saya tidak akan ikut. Kerana saya lebih penting kepada sumpah saya kepada Perlembagaan Negara saya. Saya dilantik sebagai ahli parlimen, saya bersumpah untuk mempertahankan Perlembagaan Negara saya. Semua ahli parlimen pun bersumpah sedemikian rupa. Raja-raja pun mengangkat sumpah apabila menerima watikah menjadi raja-raja. Semua menteri besar, ahli exco juga mengangkat sumpah mempertahankan bukan sahaja al-Quran, tetapi Perlembagaan Negara.

Selaku orang politik sarat pengalaman, apa gambaran yang boleh diberikan menjelang PRU14 nanti. Adakah BN dapat kekal memerintah atau  pakatan pembangkang mampu mengambil alih?

Saya ini bukan ahli nujum, susah saya hendak kata. Kalau tengok dengan apa yang kita hadapi sekarang, kalaulah parti baharu ini dapat sepakat dengan DAP, Pas, dengan parti-parti lain, akan berlaku (pertandingan) satu penjuru. Satu lawan satu dalam pertandingan, kemungkinan mereka boleh menang. Itu kemungkinan.

(Bagaimanapun) jangan  memandang rendah kepada kerajaan kerana mereka ada kuasa, ada televisyen, radio, duit dan media, Mereka juga ada alat-alat risikan dan sebagainya. Media dia lebih tahu pada kita. Dia tahu kita belum tahu lagi. Sama ada dengan kekuasaan itu, parti yang berkuasa akan kalah saya tidak tahu.

Dalam isu wang, pilihan raya perlukan (wang). Suka atau tidak suka, itu tidak menjadi masalah curah duit banyak macam mana. Semua orang nak menang pilihan raya. Tidak ada nak bertanding hendak kalah.

Susah saya hendak kata, sama ada BN kalah atau menang, ataupun pembangkang menang. Kemungkinan pembangkang akan membuat kejayaan yang lebih daripada kita duga, sekiranya syarat ada persetujuan satu lawan satu atas platform yang diterima oleh semua pihak. Ia juga berlaku sekiranya rakyat diyakinkan pembangkang tidak berkelahi sekiranya undi diberi dan menang. Tetapi, kalau parti (bekas Perdana Menteri, Tun) Dr Mahathir (Mohamad) hanya berpakat dengan DAP dan beberapa parti, Pas dengan Pas, saya rasa susah pembangkang hendak menang. Tengok apa berlaku di Sarawak yang berlaku pada pilihan raya kecil baru-baru ini.
Loading...

Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "PILIHANRAYA KALI NI TERPULANG PADA PAS ?"

Posting Komentar