Loading...
Cadangan beri lesen buat pinjaman tidak masuk akal
Nasrudin Hassan
SHAH ALAM - Cadangan Menteri Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesejahteraan Bandar, Tan Sri Noh Omar untuk membenarkan pemaju perumahan memberikan pinjaman kepada pembeli didakwa tidak masuk akal.
Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan berkata, cadangan ini bukan sahaja tidak praktikal malah akan memburukkan lagi tahap hutang isi rumah negara yang sudah di tahap kritikal iaitu 89 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
"Dengan kadar pinjaman yang tinggi dan tidak berasaskan pasaran iaitu 12 hingga 18 peratus hanya akan meningkatkan lagi hutang isi rumah Malaysia.
"Apa lagi kadar pinjaman kebanyakan bank di pasaran sekarang adalah negatif dua peratus kadar asas," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan Noh berhubung cadangan untuk memberikan lesen kepada pemaju bagi membuat pinjaman.
[ARTIKEL BERKAITAN: Cadangan beri lesen buat pinjaman bebankan rakyat]
Mengulas lanjut, Nasrudin berkata usaha ini juga amat berlawanan dengan usaha Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengurangkan beban pengguna dan meningkatkan permintaan iaitu melalui penurun Kadar Asas Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas.
"Malah langkah ini juga adalah pasti tidak mampu untuk memudahkan lagi pengguna untuk mendapat pinjaman. Ini adalah kerana dalam keadaan pasaran yang amat kompetitif sekarang pun, hampir 50 peratus pengguna gagal layak untuk mendapat pinjaman kerana peraturan BNM yang meletak syarat pendapatan bersih," katanya.
Ujarnya lagi, dalam isu ini Pas yakin jika ia dilaksanakan merupakan langkah permulaan yang akan menjerumuskan Malaysia ke krisis pinjaman sub-prime sepertimana yang telah melanda Amerika dalam tahun 2008 lepas.
"Langkah yang tidak dikawal oleh Bafia ini sudah pasti akan melepaskan pengguna daripada saringan bank, walaupun mereka tidak layak untuk mendapat pinjaman," katanya.
Untuk itu, katanya Pas mendesak supaya Bank Negara Malaysia menolak cadangan Noh ini, kerana langkah ini hanya akan memburukkan lagi kawalan risiko dan seterusnya meruntuhkan ekonomi Malaysia.
Loading...
0 Response to "RAKYAT BERTAMBAH SUSAH DAN TERTEKAN"
Posting Komentar