Loading...
KUALA LUMPUR: Seorang saksi wanita didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memberi keterangan palsu dalam perbicaraan kes pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais di Mahkamah Tinggi, Selasa lalu.
S Yogeswari, 37, yang merupakan saksi ke-37 pendakwaan dalam kes pembunuhan itu, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Nur'Aminahtul Mardiah Md Nor.
Yogeswari, didakwa memberi keterangan palsu semasa memberi keterangan sebagai saksi dalam prosiding perbicaraan jenayah di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah seperti dalam Lampiran B (Lampiran keterangan palsu) yang mana dia (tertuduh) mengetahui keterangannya adalah palsu.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Mahkamah Tinggi 1, Kompleks Mahkamah Jalan Duta, pada 11 pagi, 27 September lalu.
Lampiran B itu merujuk kepada keterangan Yogeswari mengenai kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton bernombor PEP 1135 miliknya yang didakwa digunakan untuk melanggar kenderaan dipandu Kevin Morais.
Dalam keterangannya sebelum ini, wanita itu memberitahu mahkamah bahawa pada 2 Ogos 2015 sehingga 11 September 2015, kenderaan itu ada bersamanya pada setiap malam, pada tarikh tersebut.
Keterangan itu bercanggah dengan keterangan yang diberikannya kepada Pegawai Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim, Kedah, Inspektor M Vasu pada 27 September 2015, iaitu kenderaan tersebut tidak ada bersamanya tetapi seorang lelaki bernama Selvam menyimpan kenderaan itu sepanjang masa pada tarikh tersebut.
Pertuduhan ke atasnya dikemukakan mengikut Seksyen 193 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Izzat Fauzan menawarkan wang jaminan RM10,000 dan memohon mahkamah membenarkan jaminan yang tidak terlalu rendah mengambil kira kesalahan yang dilakukan tertuduh selain bagi menjamin kehadirannya ke mahkamah.
Peguam V Rajehgopal yang mewakili tertuduh memohon mahkamah menetapkan jaminan yang rendah dengan alasan tertuduh merupakan ibu tunggal yang telah ditinggalkan suami dan mempunyai pendapatan yang rendah.
"Tertuduh beri kerjasama yang baik kepada pihak polis, tertuduh juga bersedia menerima syarat tambahan jika ditetapkan mahkamah," kata peguam itu yang juga merupakan peguam kepada dua tertuduh yang terlibat dalam kes pembunuhan Kevin Morais.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 November untuk sebutan semula kes.
Loading...
0 Response to "Saksi wanita kes bunuh Kevin Morais didakwa beri keterangan palsu"
Posting Komentar