Loading...
RUU 355: Pas tak ketepi agama demi sokongan
Idris Ahmad
SHAH ALAM – Pas menegaskan parti itu tidak akan sesekali mengetepikan agama termasuk perjuangan terhadap RUU 355 semata-mata demi meraih sokongan menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Naib Presidennya, Idris Ahmad berkata perjuangan parti itu tetap berlandaskan dasar Islam sejak dulu lagi.
“Kalau kita nak ambil sokongan orang tanpa mengambil kira agama Islam, tidak betullah perjuangan itu. Misalnya, oleh sebab ramai pengundi kita ini minum arak dan main judi, maka kita kata, kita suka dengan judi, arak. Tak bolehlah begitu.
“Kalau mereka menentang atau menolak kita, itu di luar kemampuan kita. Kita tak boleh nak ikut kehendak orang,” katanya kepada Sinar Online.
Pas kini sedang memperjuangkan RUU 355 atau Rang Undang-Undang Persendirian Akta Mahkamah Syariah (bidang kuasa jenayah) pindaan 2016 bagi memperkasakan bidang kuasa mahkamah syariah di seluruh negara.
Ini termasuk fakta jelas bahawa RUU 355 itu tiada kaitan dengan hudud yang sering disebut-sebut sebelum ini.
Dalam pada itu, menurut Idris, pihaknya yakin Islam akan membawa kesejahteraan dan kedamaian termasuk kepada semua orang sama ada yang beragama Islam ataupun bukan.
Tambahnya, mana-mana pihak boleh mempertikaikan dari segi prosedur pelaksanaan RUU 355 itu namun ia tidaklah sehingga menghalang pelaksanaannya di negara ini.
“Kita yakin perkara ini. Jadi, Insya-ALLAH kita akan berikan penjelasan. Mungkin selama ini mereka tidak faham atau ada unsur-unsur yang memberi maklumat tidak betul kepada mereka.
“Prosedur boleh diperbaiki, tiada masalah. Kita bersedia untuk memperbaiki. Tapi kita yakin sekiranya orang bukan Islam memberi peluang kepada kita, mereka akan memahami apa yang kita mahukan,” katanya.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah berjaya membawa RUU 355 itu ke Parlimen untuk bacaan pertama, Mei lalu dan bacaan kedua dijangka bakal berlaku pada sesi sidang Dewan Rakyat bulan depan.
Cadangan pindaan Akta 355 adalah untuk memperkasa mahkamah syariah yang ketika ini dibataskan kuasa hukuman kepada kadar maksimum penjara tiga tahun, denda RM5,000, enam kali sebatan syar’ie.
Loading...
0 Response to "TETAP PAKAI KOPIAH"
Posting Komentar