Loading...
Peruntukan RM7.4 bilion untuk Institusi Pengajian Tinggi (IPTA) menerusi Bajet 2017 bukan jumlah keseluruhan yang diberikan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi, kata Majlis Profesor Negara (MPN).
Ketua pegawai eksekutifnya, Prof Datuk Dr Raduan Che Rose berkata jumlah itu hanya sebahagian daripada peruntukan kerana ia diagih mengikut bidang tertentu berbanding Bajet 2016 sebanyak RM13.378 bilion secara keseluruhan.
“Kalau dibaca secara umum peruntukan untuk pengajian tinggi memang nampak kurang, tetapi ia tidak menjejaskan sistem pendidikan. Kita kena lihat secara menyeluruh, peruntukan bagi pendidikan tinggi sebenarnya ada inisiatif lain.
“Peruntukan untuk universiti tidak berkurang malah meningkat. Sebagai contoh peruntukan dalam membudayakan penyelidikan serta meningkatkan bilangan penerbitan dan harta intelek RM100 juta,” katanya kepada FMT.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam pembentangan Bajet 2017 hari ini mengumumkan peruntukan RM7.4 bilion untuk meningkatkan institusi pengajian tinggi ke taraf global, berbanding RM13.378 secara keseluruhan pada tahun sebelumnya.
Timbalan Setiausaha Agung MKN Prof Dr Kamaruddin M Said berkata kerajaan tidak mungkin mengurangkan peruntukan kerana ia akan menjejaskan kualiti pendidikan negara.
“Jika peruntukan dipotong sebanyak itu ia akan menjejaskan kualiti pendidikan. Saya rasa peruntukan itu dipecahkan sebagai contoh untuk Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di bawah Kementerian Pengajian Tinggi,” katanya.
Sementara itu, Tan Sri Prof Khoo Kay Kim berkata sistem penyelidikan negara membimbangkan kerana banyak peruntukan dipotong.
“Sebenarnya bantuan untuk penyelidikan dan penerbitan sudah dikurangkan dan banyak universiti menderita. Kalau dipotong lagi universiti sudah tidak ada makna. Universiti bukan sekolah kerana mereka memerlukan penyelidikan dan penerbitan.
“Perkara ini sangat serius kerana daripada segi intelektual semua akan merosot dan tidak boleh melahirkan pelajar berkualiti untuk menguruskan negara. Negara kita tidak seperti China, Jepun, Korea di mana mereka tidak mengurangkan sumbangan dalam bidang penyelidikan,” katanya. - FMT
Loading...
0 Response to "Bila Majlis Profesor Negara (MPN) BERTUKAR jadi PENJILAT NAJIB"
Posting Komentar