Loading...
Switzerland sekali lagi memberi tekanan kepada Malaysia supaya bekerjasama dalam siasatan skandal yang mencemari negara, dengan mengemukakan bukti baharu menunjukkan ‘Skim Ponzi’ digunakan untuk menyembunyikan penyelewengan AS$800 juta dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
OAG hari ini berkata, skim Ponzi – membayar pulangan ke atas pelaburan awal dana yang diperoleh daripada pelabur berikutnya dan bukan daripada hasil sah daripada pelaburan – mungkin telah ditubuhkan untuk menyembunyikan penipuan yang dikatakan berlaku.
Pejabat Peguam Negara (OAG) Switzerland memulakan siasatan terhadap 1MDB pada Ogos 2015 berikutan dakwaan bahawa berbilion dolar yang dikatakan dicuri dari 1MDB, telah melalui beberapa bank Swiss.
Pada Januari lalu, OAG telah meminta bantuan Kuala Lumpur dalam siasatan terhadap 1MDB, tetapi belum mendapat apa-apa jawapan, kata kenyataan daripada pejabat Peguam Negara Switzerland, Michael Lauber yang menambah mereka mengenal pasti urus niaga dan bukti baharu yang membabitkan sektor kewangan Switzerland.
1MDB – syarikat pelaburan negara – ditubuhkan oleh Datuk Seri Najib Razak pada 2009, tidak lama selepas menduduki kerusi Perdana Menteri dan disiasat di beberapa negara kerana disyaki melakukan pengubahan wang haram.
Bagaimanapun, 1MDB dan Najib menafikan melakukan apa-apa salah laku.
“Pertama, sejumlah AS$800 juta dikesan disalahguna daripada pelaburan dalam sumber semulajadi oleh bekas anak syarikat 1MDB – SRC International.
“Kedua, adalah disyaki bahawa ‘skim Ponzi’ digunakan untuk menyembunyikan penyelewengan dana daripada SRC International dan 1MDB,” kata kenyataan itu.
Pada peringkat ini empat individu dan sebuah bank sedang dalam siasatan prosiding jenayah yang berkaitan dengan 1MDB dan SRC International. OAG bagaimanapun tidak menamakan empat individu atau bank terbabit .
Permohonan terbaru mendapat kerjasama Malaysia kali ini bertujuan mengumpul maklumat lanjut bagi menyokong bukti berkaitan ‘Skim Ponzi’ ini.
Nama baik Malaysia tercemar lebih setahun lalu berikutan dakwaan mengenai skandal 1MDB yang turut membabitkan ‘kehilangan’ berbilion ringgit wang rakyat, hutang dan pada masa sama media antarabangsa mendedahkan akaun Najib mempunyai RM2.6 bilion – wang yang didakwa didermakan putra Arab Saudi.
Skandal itu juga menyebabkan rakyat menggesa Najib meletak jawatan Perdana Menteri, selain siasatan besar-besaran mengenai pengubahan wang haram dilakukan oleh beberapa negara lain.
Julai lalu, Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat (AS) mengemukakan saman sivil bagi merampas aset di AS dan Britain milik individu dan syarikat yang dikatakan dibeli menggunakan wang yang dicuri dari 1MDB.
Antara individu yang disaman ialah anak tiri Najib yang juga anak Datin Seri Rosmah Mansor – Riza Aziz; rakannya yang juga ahli perniagaan, Jho Low; Tan Kim Loong (rakan sekutu Jho Low – pemilik beberapa akaun bank di mana dana 1MDB yang diseleweng dipindahkan) dan bekas pegawai kerajaan Abu Dhabi, Khadem al-Qubaisi serta Mohamed Ahmed Badawy Al-Husseiny.
Saman itu turut menyatakan ‘Malaysian Official One’ turut terbabit mencuri wang 1MDB. – Agensi
Loading...
0 Response to "Bukti baharu Switzerland dedah ‘skim Ponzi’ sembunyi penyelewengan AS$800 juta dana 1MDB"
Posting Komentar