Loading...
SEKIRANYA pemilik rangkaian restoran Ninja Joe ada sedikit keprihatinan dan berfikiran waras, tentu dia tidak dengan sengaja mengaitkan nama Melayu (Islam) dengan babi.
Salah satu hidangan di restorannya yang diberi nama ‘Buger Babi P. Ramly’ – dan diiklankan secara terbuka – bagi saya adalah satu penghinaan kepada orang Melayu dan agama Islam.
Tidaklah dapat dipastikan sama ada Kelvin Tan, tauke restoran berkenaan, warga tempatan atau bukan warganegara. Sekiranya dia rakyat negara ini, dia sepatutnya menghormati dan memahami sensitiviti kaum dan agama di tempat kita.
Malah, sekiranya dia bukan warganegara pun, dia boleh mendapatkan pandangan daripada kakitangan pengurusan di restorannya sebelum dengan mudah memutuskan nama Melayu dikaitkan dengan babi muncung dempak yang najis lagi haram itu.
Tambahan pula nama tersebut, walaupun ejaannya berbeza, bunyinya sama dengan seorang seniman agung yang menjadi legenda filem Melayu.
Seperti yang diketahui umum, Ramly – sama ejaan, sama sebutan – juga adalah jenama beraneka produk halal, termasuk burger ayam dan burger lembu, yang telah wujud sejak 1979.
Kelvin sendiri mengakui bahawa huruf ‘P’ pada nama burger berkenaan merujuk kepada ‘pork’ atau daging babi. Maka P. Ramly bererti Babi Ramly atau Ramly Babi. Mengapa berani meletakkan najis tahap tinggi itu dengan nama Islam?
Apakah itu tidak menghina?
Sebenarnya ini bukan sahaja penghinaan, tetapi satu provokasi. Sama sahaja seperti yang pernah dilakukan Alvin Tan ketika dia memuat naik di media sosial, mengiklankan bak kut teh @ sup tulang babi untuk umat Islam berbuka puasa.
Pemblog seks yang sewel dan kurang ajar itu kini melarikan diri ke Amerika Syarikat sebab tidak berani menghadapi pertuduhan di mahkamah. Sampai sekarang orang Islam marah padanya.
Terkini burger babi kontroversi yang mula diperkenalkan pada Hari Merdeka akhir Ogos lalu di restoran yang mempunyai cawangan Petaling Jaya, Klang, Seremban dan Singapura, akan ditukar nama baharu.
Menurut pemiliknya poster dan iklan burger tersebut juga akan ditarik balik “memandangkan kumpulan pengguna Islam berasa tersinggung dengan nama berkenaan.”
Antara yang menentang ialah Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), yang setakat semalam menerima enam laporan berhubung perkara itu. Ketua aktivisnya, Datuk Nadzim Johan mengingatkan pemilik restoran berkenaan supaya “belajar hidup dalam masyarakat majmuk.”
Bagi orang bukan Islam yang tidak prihatin nama burger tersebut mungkin tidak membawa apa-apa kesan, sama sahaja seperti hotdog, rut bir, Pau Hassan, sup Ayam Uncle Lim dan lain-lain.
Tetapi bagi pengguna Melayu @ Islam burger babi tersebut selain menghina juga mengelirukan, sebab dikaitkan dengan nama Melayu. Malah, ini mungkin sengaja dilakukan untuk mengelirukan pengguna yang telah terbiasa dengan Ramly Burger.
Hal-hal seperti ini adalah antara sebab mengapa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mencadangkan supaya nama ‘pretzel dog’ yang dihidangkan di sebuah kedai roti ditukar kepada ‘pretzel sausage’, untuk mengelakkan kekeliruan.
Tetapi, sesetengah orang kita menganggap tindakan pihak berkuasa agama itu sebagai kolot dan bodoh. Ini menjadi tajuk media seluruh dunia. Semua menuding jari pada Jakim.
Malah, mereka yang tidak tahu menahu hal-hal agama dan tidak arif hukum halal-haram pun tumpang semangkuk menghentam Jakim. Mereka lupa bahawa Jakim ada hak untuk menjaga kepentingan pengguna Islam.
Sebenarnya kalau tidak kerana peraturan Jakim pun, sebagai pengguna Islam kita perlu berhati-hati sekali mengenai apa yang kita makan dan minum. Kalau ada sedikit sahaja syak terhadap status sesuatu makanan dan minuman, haram bagi kita mengambilnya.
Lebih-lebih lagi tempat kita ada banyak benda yang mengelirukan. Ambil perkataan bacon sebagai contoh. Di hotel-hotel lima bintang, termasuk yang tidak mempunyai sijil halal Jakim, ada menu yang dinyatakan sebagai beef bacon. Sengaja digunakan beef (lembu) untuk menghalalkan bacon.
Padahal, kamus mini Oxford English dengan jelas menyebut: “bacon is salted or smoked meat from a pig.” Semua orang tahu pig itu babi. Jadi kenapa mesti letak beef bacon? Apa salahnya kata daging lembu salai?
Mana ada bacon lembu? Satu hari nanti mungkin dia orang guna bacon unta, bacon arnab, bacon ikan tongkol, bacon ikan keli, dan macam-macam bacon! Ingatlah, lembu tetap lembu, ayam tetap ayam, ikan tongkol tetap ikan tongkol. Dan babi tetap babi! - SH
Loading...
0 Response to "Burger BABI P Ramly, Mana Pergi Babi Babi Liberal dan Melayu Bodoh Berjinak-jinak Liberal, Diam saja"
Posting Komentar