Loading...
KOTA BHARU: Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dan penaja utama pasukan Kelantan, Vida Beauty Sdn Bhd bersetuju menangguhkan sementara penajaan pada saingan Liga Malaysia musim depan.
Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa berkata, keputusan itu dicapai dalam pertemuan pihaknya dengan pemilik syarikat itu, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman yang juga dikenali sebagai Dr Vida, baru-baru ini.
“Datuk Seri Vida (Hasmiza) yang mahu menangguhkan sementara penajaan tersebut dan bukan membatalkannya,” katanya kepada pemberita semalam.
Annuar berkata, sekiranya syarikat itu mahu menyambung kembali tajaannya pada Liga Malaysia 2018, segala perjanjian dalam kontrak penajaan tersebut masih terpakai.
“KAFA amat berterima kasih kepada syarikat tersebut di atas tajaan yang diberikan sepanjang tahun ini, walaupun persatuan terpaksa mencari kaedah lain dalam menampung beberapa kos selepas ini,” katanya.
Beliau berkata, KAFA sentiasa menjaga hubungan baik dengan pihak penaja dan cuba mengelakkan konflik kerana ia tidak menguntungkan.
Katanya, KAFA sedang berunding dengan beberapa penaja untuk menaja pasukan Kelantan pada musim akan datang.
Akhbar sebelum ini melaporkan Vida Beauty mempertimbangkan untuk tidak menaja pasukan Kelantan pada Liga Malaysia musim depan.
Mengikut perjanjian asal, syarikat itu masih mempunyai kontrak penajaan setahun lagi dengan pasukan berkenaan.
Loading...
0 Response to "Dr Vida tangguh taja Kelantan"
Posting Komentar