Loading...
shahbudindotcom
Apa agaknya masalah Annuar Musa ini?
Sudah dua tiga kali sebelum ini, khususnya sejak dilantik sebagai Ketua Penerangan UMNO, beliau seolah-olah sudah tidak kenal lagi antara hitam dengan putih.
Terbaru, katanya, politik kebencian itu suatu jenayah.
Sejak bila benci-membenci dalam politik menjadi suatu jenayah?
Sebagai orang lama dalam politik, Annuar tentu tahu bahawa politik ialah untuk merebut kuasa. Dalam usaha berebut kuasa, sudah tentu pihak lawan diserang dan dibenci supaya sokongan memihak kepada kita. Takkan lawan mahu dipuji pula.
Semua parti politik berbuat demikian. Jika parti-parti pembangkang menanamkan kebencian agar rakyat menolak UMNO dan BN, pihak UMNO dan BN juga berbuat perkara yang sama kepada parti-parti pembangkang.
Tetapi, akhirnya pilihanrayalah yang menentukan segala-galanya. Kerajaan ingin ditukar hanya melalui proses pilihanraya atau cara-cara lain yang dibenarkan oleh undang-undang dan Perlembagaan.
Apakah beliau tidak sedar hakikat itu?
Jika Annuar mengatakan politik kebencian adalah suatu jenayah kerana ia bertujuan menjatuhkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat, bagaimana pula dengan politik kebencian yang turut ditanam oleh UMNO dan BN di Selangor dan Pulau Pinang?
Bolehkah sebagai Ketua Penerangan UMNO, Annuar mengarahkan agar dihentikan serta-merta kempen menjatuhkan kerajaan negeri di kedua-dua negeri tersebut mulai sekarang jika ia merupakan suatu jenayah?
Apakah hanya kerajaan Pusat saja yang dipilih oleh rakyat dan tidak boleh dijatuhkan? Tidakkah kerajaan Selangor dan Pulau Pinang juga dipilih oleh rakyat?
Untuk makluman Annuar, bukan politik kebencian yang menjadi masalah kepada negara. Sudah banyak kali pilihanraya diadakan di negara kita, dan setahun atau dua tahun sebelum tarikh pilihanraya diadakan, adalah perkara biasa bagi parti-parti politik memperhebatkan kempen menanam kebencian dan menarik sokongan rakyat, namun ia tidak pernah menjadi masalah selama ini.
Kenapa hanya di era Najib ia dilihat sebagai masalah? Kenapa takut sangat dengan kebencian jika kita di pihak yang benar dan tiada dosa besar kepada rakyat?
Mengapa mahu ia dijadikan sebagai jenayah?
Bagaimana dengan rompakan, samunan dan pencurian wang rakyat yang sudah begitu melekat dengan kepimpinan yang ada sekarang yang bukan saja menjadi bualan rakyat dalam negara, malah menjadi bahan cecehan yang sudah bertaraf dunia?
Loading...
0 Response to "MEROMPAK, MENYAMUN LEBIH MERUPAKAN JENAYAH"
Posting Komentar