Loading...

NAK LAWAN PASANG BESAQ !

Loading...
Sembilan jam bina benteng pasir
Sembilan jam bina benteng pasir
Waktu awal pagi tidak menghalang penduduk Kampung Nelayan, Kuala Kurau bertungkus-lumus membina benteng sementara ban bagi menghalang air laut pasang besar memasuki rumah mereka‎. - Foto Sinar Harian

KUALA KURAU - Demi memastikan kejadian banjir akibat gelombang kedua air laut pasang besar tidak berulang, penduduk Kampung Nelayan, di sini sanggup menghabiskan masa sembilan jam membina benteng pasir di sepanjang ban kampung itu semalam.

Bermula jam 5 petang, lebih 50 penduduk kampung bersama anggota pelbagai agensi kerajaan seperti Angkatan Pertahanan Awam (APM), Bomba dan Penyelamat Kuala Kurau, Rela dan kepimpinan Umno Bahagian Parit Buntar bergotong-royong membina benteng tambahan ban dengan menggunakan guni pasir sehingga jam 2 pagi tadi.

Pegawai Khas Menteri Besar Perak, Datuk Abu Bakar Md Ali berkata, sejumlah lebih 1,000 beg guni pasir dibekalkan pihaknya digunakan bagi membina benteng tambahan di setiap lokasi ban berisiko dilintasi air laut pasang besar.

"Kerja pembinaan benteng dilanjutkan sehingga awal pagi kerana pihak kami bersama agensi kerajaan bertanggungjawab turut memantau sama ada  paras ketinggian benteng tambahan mencukupi bagi menghadapi fenoeman air laut pasang besar.

"Perlaksanaan kerja itu turut dilaksanakan serta-merta pada petang tadi (semalam) kerana tinjauan di lokasi ban terbabit malam semalam(kelmarin) mendapati paras air laut pasang besar hampir melintasi ban," katanya kepada media sewaktu beliau turun padang meninjau kerja-kerja pembinaan benteng tambahan ban Kampung Nelayan, di sini awal pagi tadi.

Turut hadir Penghulu Mukim Kuala Kurau, Abdullah Yusof, Penghulu Mukim Bagan Tiang, Shahrul Nizam Razali dan kepimpinan JKKK Kampung Sungai Melan di sini.

Abu Bakar berkata, hasil tinjauan awal pagi ini,  masih belum ada rumah penduduk di Mukim Kuala Kurau dilaporkan dinaiki banjir air laut pasang besar.

Menurutnya, selain Mukim Kuala Kurau, pihaknya turut memantau keadaan air laut pasang besar di sekitar Mukim Bagan Tiang.

"Kejadian banjir air laut pasang besar mungkin tidak berlaku disebabkan keadaan angin normal dan ombak tidak kuat.

"Namun, langkah berjaga-jaga masih diambil semua pihak bagi memastikan kemungkinan impak negatif daripada fenomena itu dapat diminimumkan,"katanya.
Loading...

Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "NAK LAWAN PASANG BESAQ !"

Posting Komentar