Loading...
MP perlu hormati keputusan Speaker Dewan Rakyat
Tan Sri Pandikar Amin Mulia
KUALA LUMPUR - Semua Ahli Parlimen diminta menghormati peraturan mesyuarat serta keputusan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia bagi memastikan persidangan Dewan Rakyat berjalan lancar.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ini kerana Pandikar Amin membenarkan Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membawa usul Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian yang telah dipinda berdasarkan peraturan mesyuarat.
"Memandangkan pindaan agak menyeluruh maka penangguhan di bawah Peraturan Mesyuarat 15(5) dibenarkan.
"Ini bermakna usul ahli Parlimen Marang belum lagi melalui Bacaan Pertama. Peraturan Mesyuarat 28 membenarkan sesuatu usul RUU Ahli Persendirian untuk dipinda," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Abdul Hadi hari ini membawa usul Rang Undang-Undang Persendirian iaitu Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016 di Dewan Rakyat.
Ia bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau dikenali Akta 355.
Pada Mei lalu, Abdul Hadi membentangkan usul yang sama namun ia dibentang sekali lagi, kali ini selepas dipinda.
Menurut Azalina, RUU Persendirian adalah berbeza dengan RUU yang dibawa oleh Kerajaan, dengan seorang Menteri perlu memberi notis satu hari terlebih dahulu.
"Selepas nama RUU itu dibacakan oleh Setiausaha Dewan Rakyat di dalam Dewan, ia disifatkan telah melalui Bacaan Pertama," katanya.
Mengulas lanjut, Azalina berkata, pindaan terhadap Akta Mahkamah Syariah 1965 hanya bertujuan menambah bidang kuasa Mahkamah Syariah untuk menjatuhkan hukuman. - Bernama
Loading...
0 Response to "Hormati keputusan Speaker"
Posting Komentar