Loading...

Kepada ibu bapa yang 'kronik' mahu keputusan anak semua A, ini nasihat ustaz...

Loading...
MEMILIKI anak-anak yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan memang menjadi idaman semua ibu bapa.

Ibu bapa mana yang tidak gembira tatkala melihat deretan A terpampang atas slip keputusan peperiksaan anaknya.
Kadang-kadang, hasrat ibu bapa yang begitu 'rakus' dengan A, mengakibatkan anaknya sendiri menjadi mangsa ketidakseimbangan dalam melihat makna cemerlang.

Terkejar-kejar ingin mendapat markah cemerlang sehingga membantutkan proses perkembangan dan kematangan daya fikir, emosi dan akhlaknya.

Ya, mendapat A atau keputusan cemerlang dalam peperiksaan adalah lambang kepada daya penerimaan dan kefahaman anak terhadap mata pelajaran begitu baik.

Ia juga boleh menjadi gambaran kepada sikapnya yang bersungguh-sungguh dan rajin belajar serta mempunyai kemahiran dalam memindahkan ilmu yang diperoleh di dalam kelas ke atas kertas peperiksaan.

Namun, adakah mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan menjadi jaminan mutlak bahawa anak tersebut juga mempunyai daya pemikiran cemerlang dalam menguruskan kehidupannya?

Tentunya tidak! Cemerlang dalam peperiksaan hanyalah sebahagian kecil yang mewakili kecemerlangan pemikiran anak-anak.

Oleh itu, sekiranya ibu bapa obsesi dengan markah A, sehingga terabai aspek lain, boleh jadi anak-anak akan cemerlang atas kertas peperiksaan, tetapi gagal dalam menguruskan cara fikir dan kehidupan
dengan betul.

Justeru, selain bermati-matian ingin anak cemerlang dalam peperiksaan, ibu bapa juga perlu bermati-matian dalam memastikan kecemerlangan pegangan agama, daya berfikir, emosi, akhlak dan fizikal.

Contoh telahpun ada. Anak-anak yang berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan, tetapi gagal dalam menguruskan kehidupannya selepas itu. Betul, dalam menjawab soalan peperiksaan, tetapi tempang dalam fikirannya untuk memilih mana yang baik dan buruk bagi hidupnya.

Akhirnya, keputusan cemerlang tersebut hanya kekal tertulis atas kertas dan menjadi sejarah sahaja. Ia tidak mampu diterjemahkan dalam kehidupannya sebagai seorang hamba dan khalifah.

Contoh sebaliknya juga ada. Anak-anak yang tidaklah begitu cemerlang dalam peperiksaan, namun mendapat pendidikan holistik yang menyentuh kefahaman dan pengamalan agama, emosi, daya berfikir, akhlak dan fizikal, kehidupannya mampu diuruskan dengan cemerlang.

Bukan hanya untuk faedah dirinya sahaja, bahkan turut dirasai impaknya oleh masyarakat di sekeliling.

Makna kecemerlangan


Maka, ibu bapa yang melihat makna kecemerlangan dengan betul merupakan acuan pertama membentuk kejayaan dalam kehidupan anak-anak.

Kejayaan yang bukan hanya tercatat atas kertas, tetapi ia mampu diterjemahkan dalam menguruskan hidup bagi memenuhi tuntutan sebagai seorang hamba dan khalifah.

Sebagai contoh, kejayaan hidup anak-anak bukan hanya bergantung kepada berapa A yang diperoleh, tetapi lebih utama bagaimana cara pemikirannya dibentuk.

Menjadi seorang yang proaktif atau reaktif!

Anak-anak yang reaktif adalah mereka yang tidak ada kemampuan dalam mengawal tingkah laku di saat menghadapi cabaran dan kesulitan.

Asyik menyalahkan faktor luaran. Tidak fokus kepada perkara di dalam kawalan.

Suka merungut, mengeluh dan mencari alasan. Hanya bertindak apabila dipaksa atau ditekan.

Sebaliknya anak-anak yang proaktif adalah mereka yang sentiasa fokus kepada perkara dalam kawalannya.

Ketika berhadapan dengan kesukaran dan cabaran, dia tidak asyik mengeluh, merungut dan menyalahkan faktor luaran, tetapi berfikir dan memilih langkah yang boleh diambil olehnya.

Mereka tahu dan sedar hala tuju hidup dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kehidupan sendiri. Tidak hanya bergantung kepada orang lain.

Melakukan perkara yang baik bukan kerana disuruh-suruh atau dipaksa, tetapi atas dorongan dari dalam diri.

Pendidikan tidak formal

Pemikiran dan sikap proaktif ini bukanlah seperti mi segera yang boleh dinikmati dengan cepat. Ia terhasil daripada proses pendidikan tidak formal sama ada secara sengaja atau pun tidak oleh pendidik mereka, terutamanya ibu bapa dan guru.

Tamsilan mudah, ketika anak kecil yang berjalan lalu tersepak batu, terjatuh dan menangis. Ibu bapa ingin tunjukkan sikap prihatinnya kepada anak-anak, lalu memarahi dan menyepak semula batu tersebut dengan harapan anaknya akan segera berhenti menangis.

Anaknya pun berhenti menangis kerana melihat batu yang menyebabkan dia terjatuh telah mendapat pembalasan.

Namun, apakah mesej lain yang telah dimasukkan ke dalam minda anak tersebut? Secara tidak sedar, tindakan tersebut membentuk cara fikir reaktif. Anak tersebut berfikir dia sentiasa betul dan pihak lain yang selalu menyebabkan hidupnya sukar, sulit dan sakit.

Dia tidak akan menjadi proaktif untuk berfikir apakah kelemahan dan kecuaian diri sendiri.

Sentiasa bergantung kepada orang lain untuk mengubah hidupnya sedangkan dia sendiri mampu mengubahnya.

Ketika masih ada orang yang 'prihatin' dan 'menyepak batu-batu kesulitan hidupnya', maka bolehlah dia terus berjalan.

Ketika keseorangan, dia tidak tahu untuk menyepak kesulitan tersebut, walaupun dia mempunyai tangan dan kaki yang kuat.

Cara fikir proaktif juga boleh dibentuk apabila anak-anak dilatih untuk membuat pilihan dan keputusan untuk diri sendiri. Bermula daripada perkara yang kecil-kecil mengikut tahap umur mereka.

Contohnya, diberi ruang untuk memilih baju mana yang ingin dipakai untuk ke sesuatu majlis, permainan apa yang mahu dimainkan, makanan apa yang mahu dibeli dan sebagainya.

Ibu bapa berperanan sebagai pembimbing ketika proses anak-anak membuat keputusan dengan menjelaskan apakah impak di sebalik keputusan yang dibuat.

Walaupun nampak remeh dan kecil, tetapi tindakan ibu bapa sebegini sebenarnya proses didikan tidak formal yang membentuk kemahiran dalam membuat keputusan dan bertanggungjawab di atas kesannya.

Lama kelamaan apabila anak tersebut meningkat dewasa, dia akan bertemu dengan situasi yang pelbagai dan menuntut untuk membuat keputusan. Latihan semenjak kecil yang diberikan oleh ibu bapa, akan membantu anak-anak membuat keputusan yang betul untuk diri masing-masing.

Ini hanyalah contoh kecil yang perlu dilihat oleh ibu bapa dalam mendefinisikan makna kecemerlangan terhadap anak-anak mereka.

Masa hadapan negara dan umat akan diwarisi oleh generasi anak-anak yang dididik sekarang. Bagaimana mereka dididik sekarang, maka itulah hasilnya yang akan dilihat pada masa akan datang. Generasi muda

Jika generasi muda sekarang hanya diajar untuk mengejar A dan menjadi bijak menjawab soalan peperiksaan, tetapi diabaikan aspek lain yang membentuk keperibadian mereka, maka jangan terkejut jika mereka juga bijak dalam melakukan penyelewengan terhadap amanah apabila mereka menjadi pentadbir dan pemimpin nanti.

Mereka cemerlang dalam peperiksaan, tetapi gagal dalam nilai amanah dan kredibiliti.

Ada masa untuk bermesyuarat di sana-sini, meninjau projek di dalam dan di luar negeri, tetapi tidak ada masa untuk bersujud menyembah Ilahi.

Oleh itu, mari kita lihat semula makna kecemerlangan yang dikejar selama ini. Mari kita didik generasi anak-anak dengan didikan yang betul.

Sudah pasti sumbernya berteraskan kalam Ilahi dan sunnah Nabi. Ilmu dan kemahiran yang datang dari Timur dan Barat juga boleh dimanfaatkan.

Didiklah anak-anak. Berikan ilmu. Bentuk sikap. Tunjukkan jalan. Berikan teguran. Ada kalanya perlu juga diberi pukulan yang bukan untuk mencederakan fizikal, kerana Rasulullah SAW sendiri menyarankan dipukul (untuk mendidik) anak-anak yang enggan solat selepas diberikan didikan apabila mencecah 10 tahun.

USTAZ ABD RAZAK MUTHALIB
Penulis ialah Jurulatih Kanan & Motivator di Akademi Magnet Sukses.


jobs from my.neuvoo.com
Loading...

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :

0 Response to "Kepada ibu bapa yang 'kronik' mahu keputusan anak semua A, ini nasihat ustaz..."

Posting Komentar