TELAH diberitakan bahawa Rafizi Ramli mempersoalkan bagaimana Reza Aziz boleh menyertai PM DS Najib Razak dalam pesawat rasmi terbang ke negara China dalam satu kunjungan rasmi. Soalan ini tidak begitu penting, tetapi yang penting ialah perihal Reza Aziz. Beliau ialah salah satu watak utama yang disebutkan oleh Peguam Negara AS pada 20 Julai 2016 lalu dalam kes pendobian wang berbilion dolar.

Jumlah yang hendak dirampas oleh AS ialah 1 bilion dolar.

Peguam Negara AS itu kata, sejumlah 3.5 bilion dolar telah masuk ke dalam sistem kewangan AS secara haram, setelah dikuakkan dari 1MDB dan disusupkan melalui firma-firma komeng (shell companies) di bumi Arab dan Eropah. Kata-kata beliau itu  amat meremang bulu roma saya. Kedudukan beliau yang amat kuat itu diperkuatkan lagi oleh kehadiran dan ucapan Ketua Penyelidik Jenayah Badan Hasil Dalam Negeri AS;  Timbalan Pengarah FBI dan dua orang peguam utama AS.

Selepas segalanya itu diperkatakan, Peguam Negara AS itu, Loretta Lynch, memberikan amaran keras kepada dunia, bahawa AS akan melakukan tindakan yang tidak terhingga dalam kuasanya menafikan pegawai-pegawai dan sesiapa saja dari mendapat kaupan wang begitu.

Oleh kerana tindakan yang diumumkan itu berbentuk sivil, maka tidaklah berlaku sebarang tangkapan. Dengan tindakan sivil itu, AS boleh merampas wang. Ia akan pulangkan kepada rakyat Malaysia wang yang lebih daripada jumlah yang patut dirampas.

Berikutan daripada itu Reza Aziz dan Jho Low, seorang lagi yang disebutkan, dikatakan berada dalam keadaan bebas dan tidak ditangkap di AS, hingga Reza Aziz dikatakan sudah pulang ke Malaysia seperti yang disebutkan di atas. 

Sebenarnya AS sengaja membiarkan orang seperti mereka dari diberkas dan keluar dari AS kerana AS boleh menarik mereka semula ke AS apabila tiba masanya. Pelbagai cara ada pada AS. Tengok saja apa yang berlaku kepada Presiden Panama. Atas tuduhan mengedar dadah, beliau diambil dari istananya di Panama City dan diterbangkan ke AS. Kini beliau masih meringkuk dalam penjara AS.

Tindakan AS secara tidak langsung ialah dengan menggunakan Mahkamah Jenayah Dunia di Den Hague, Belanda, membicarakan ketua-ketua kerajaan seperti yang berlaku kepada pemimpin-pemimpin Liberia di Afrika dan Serbia di Eropah. Paling kurang ia boleh membuat ekstradisi – membawa balik si tertuduh dari sesebuah negara melalui kuat kuasa undang-undang.

Berkenaan PM DS Najib - beliau bukan saja terlalu berani, malah beliau kelihatan terlalu tidak menghiraukan terhadap apa yang terjadi akibat tindakannya menyingkir pemimpin-pemimpin atasan dan bawahan Umno yang menjadi parti teras kerajaan. Sebagai perbandingan, lihat saja apa yang saya tahu sejak Tunku Abdul Rahman menjadi PM pertama.

Tunku tidak sunyi daripada menghadapi masalah. Kesan British masih amat kuat terasa. Ancaman komunis masih tegang gugatannya. Pembangkang pula tidak kurang kelangsungannya. Dalam pada itu, seorang menteri bernama Abdul Aziz Ishak cuba bersikap bebas dalam mengisi erti kemerdekaan. Maka timbullah pertentangan beliau dengan Tunku. Selepas sekian lama keadaan tegang, Tunku tidak ada pilihan melainkan memberhentikan Aziz daripada menjadi menteri.  

Tun Razak pula banyak menggunakan tindakan halus. Beliau amat demokratik. Dibiarkannya pesaing kuatnya, Datuk Harun Idris, bertindak sebagai Ketua Pemuda, demi menjaga kekuatan Umno. Apabila Khir Johari pula sudah nyata benar mahu menggugat beliau untuk menjadi PM, Tun Razak merombak Kabinet dan melantik Khir sebagai Duta Malaysia ke AS pada tahun 1973. Inilah yang dimaksudkan: menarik rambut dalam tepung; rambut tidak putus, tepung tidak berkecai.

Namun begitu, apa yang tidak sanggup dibuat oleh Tun Razak, dibuat oleh Hussein Onn selaku PM yang ketiga. Sebagai peguam, beliau bertindak atas lunas undang-undang. Lalu Datuk Harun Idris dituduh rasuah; dibicarakan dan didapati bersalah; dan dihukum penjara beberapa tahun.

Itulah tiga orang PM awal Malaysia yang kukuh pegangan demokrasi. Mereka berkesan mencorakkan pola-pola demokrasi negara. 

Soal ‘pendobian wang’ dari 1MDB yang ditegaskan oleh Peguam Negara AS itu akan menjadi ketara lagi apabila Peguam Negara AS itu bertindak seterusnya. Inilah ujian demokrasi dan hemah terbesar PM kita kini.

oleh: ADAM A KADIR