Loading...
WASHINGTON, 9 Safar 1438H, Rabu – Rata-rata orang Islam di Amerika meluahkan kekecewaan dan kebimbangan mereka di laman Twitter atas kemenangan calon Republikan, Donald Trump sebagai presiden baharu negara itu.
Ini berikutan, Trump sebelum ini berulang kali menegaskan bahawa dia akan mengharamkan orang Islam berada di AS sekiranya dipilih sebagai presiden.
Kebanyakan mereka bimbang, pentadbiran baharu yang dikuasai Trump akan mencetuskan ‘Islamofobia’ yang lebih teruk ke atas komuniti Islam di negara itu.
“Saya seorang wanita, Muslim dan kanak-kanak pendatang. Dan saya tidak percaya bahawa saya hidup dalam sebuah negara yang menyokong Trump. Saya sedang menangis,” kata pemilik akaun, Amela.
“Sebagai orang Islam Arab yang tinggal di Amerika, saya amat takut bukan sahaja untuk rakyat di negara ini malah kepada golongan minoriti di mana-mana,” kata Adam Saleh.
Meskipun banyak perkongsian perasaan takut, bimbang dan kecewa terhadap keputusan pilihan raya, namun sebahagian daripada netizen menggalakkan orang Islam supaya bersatu dalam menghadapi kebencian.
Pemilik akaun, Hasib N berkata, walaupun keputusan berpihak kepada Trump, namun beliau menggesa supaya orang Islam di negara itu tetap berdiri teguh menentang penindasan dan sekatan terhadap hak bersuara.
“Ketepikan semua gurauan itu, Kita tidak boleh takut. Kita perlu kuat dalam menghadapi ketaksuban dan ketidakadilan,” kata Imraan Siddiqi. - ismaweb
Loading...
0 Response to "Muslim Amerika bimbang, kecewa Trump jadi presiden"
Posting Komentar