Loading...

"Buka pintu, kelapa sawit menghijau, buka almari dapur, minyak tak ada" - Shahaniza

Loading...
 
 
Shahaniza Shamsuddin
Shahaniza Shamsuddin

Kerajaan perlu menangani segera permasalahan yang dihadapi warga Felda di Pahang jika tidak mahu kehilangan banyak kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Wakil pembahas dari Pahang, Datuk Shahaniza Shamsuddin berkata, kawasan Felda hari ini berdepan cabaran getir dengan pelbagai isu yang gagal ditangani.

Kata beliau, pengundi Felda yang sentiasa berada di belakang kerajaan pada PRU lepas kemungkinan besar akan menunjukkan undi protes jika hal berbangkit tidak diambil tindakan segera menjelang PRU14.

"Pada PRU13, sebanyak 48 Parlimen dalam kawasan Felda menang, enam tewas. Jika diandaikan pembangkang mampu menambah 23 kerusi Parlimen di Kawasan Felda, berakhirlah era pemerintahan Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi UMNO.

"Kami di Pahang ada 12 kerusi Parlimen yang di dalamnya kawasan Felda. 10 BN menang dan tewas dua kerusi, manakala di peringkat DUN BN memenangi 27 kerusi dan empat kerusi jatuh ke tangan pembangkang.

"Pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Rompin, dua Pusat Dalam Mengundi (PDM) di kawasan Felda turut hilang dari genggaman, menunjukkan kawasan Felda kini bukan lagi benteng pertahanan yang ampuh untuk orang Melayu," katanya dalam sesi membahas usul di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PETC), di sini, hari ini..

Shahaniza yang juga ADUN Maran berkata, turut mengingatkan kerajaan, penubuhan makmal bagi menyelesaikan masalah Felda tidak boleh mengambil masa terlalu lama kerana warga Felda bukan "Tikus Makmal" yang boleh dijadikan bahan uji kaji.

"Masalah di Felda mestilah diselesaikan segera. Yang mustahak diselesaikan, ialah isu pembelian buah kelapa sawit, yang mana pembayarannya sering ditangguhkan dari tiga hingga empat minggu.

"Wahai Felda, carilah ikhtiar dan baikilah aliran tunai agensi ini supaya pembayaran pembelian buah kelapa sawit boleh dibuat serta merta," ujarnya.

Beliau turut mendedahkan, isu penyata hutang tanam semula dan sara hidup Felda Technoplan yang membebankan dan tidak dikemaskini juga masih gagal ditangani.

Begitu juga, katanya, masalah perumahan generasi kedua Felda dan pelbagai isu lain yang belum selesai hendaklah ditangani segera, termasuk kehidupan mereka yang semakin terhimpit dengan kenaikan kos sara hidup.

"Baru-baru ini, apabila timbul isu terputus bekalan minyak masak, kawasan Felda juga turut terjejas, sedangkan pada masa sama, Felda antara pengeluar minyak sawit terbesar dunia.

"Tak jadi bahan lawakkah? Buka pintu rumah, nun menghijau pokok kelapa sawit, tapi buka almari di dapur tiada bekalan minyak untuk digunakan sebagai keperluan harian.

"Inilah antara isu yang kita harus lihat. Ia adalah realiti yang menyakitkan masyarakat," katanya. -- MalaysiaGazette


Loading...

Subscribe to receive free email updates:

0 Response to ""Buka pintu, kelapa sawit menghijau, buka almari dapur, minyak tak ada" - Shahaniza"

Posting Komentar