Loading...

Kuasai KBAR sebelum KBAT - Dr. Othman Talib

Loading...
Sedia maklum pelaksanaan menerapkan unsur Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) mula diterapkan dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bermula tahun ini.

Pelbagai maklum balas diterima daripada bermacam pihak berhubung keputusan peperiksaan tersebut yang baru diumumkan Kementerian Pendidikan (KPM), baru-baru ini. Ramai menyokong dan ada juga sebaliknya.

Tidak kurang yang memberi cadangan supaya format peperiksaan UPSR ditambahbaikkan pada tahun akan datang.

GPS Bestari.com mendapatkan pandangan Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia, Dr Othman Talib berhubung pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dengan membudayakan unsur KBAT ini.


Semenjak diaplikasikan dalam UPSR 2016, ramai cuba memahami mengenai KBAT. Apakah sebenarnya dimaksudkan dengan KBAT ini?

OT: Terdapat dua istilah iaitu Kemahiran Berfikir Aras rendah (KBAR) dan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT). Kedua-dua istilah ini dikaitkan dengan aras penguasaan pengetahuan mengikut taksonomi Bloom (edisi kemas kini).

KBAR adalah kemahiran pada aras penguasaan maklumat, memahaminya serta mampu membuat aplikasi maklumat tersebut dalam situasi baru. KBAT pula adalah kemahiran pada aras lebih tinggi yang melibatkan keupayaan menganalisis maklumat, membuat penilaian terhadap maklumat tersebut serta berupaya mencipta sesuatu, berinovasi, membuat keputusan dan penyelesaian masalah.

Tahap pengetahuan dikaitkan dengan tahap pemikiran ini bukanlah sesuatu yang bersifat terpisah. Tidak mungkin murid menguasai KBAT jika tidak menguasai asas pengetahuan dan memahaminya pada peringkat KBAR.

Kedua-dua KBAR dan KBAT adalah proses saling melengkapi.

Apa komen Dr mengenai elemen KBAT dalam UPSR?

OT: Memiliki KBAT bermakna individu mempunyai kebolehan menganalisis dan menilai maklumat dicerap dan membuat penaakulan bagi ‘mencipta’ penyelesaian masalah bukan rutin atau masalah boleh diselesaikan dengan lebih dari satu cara yang sama.

Namun, perkembangan kognitif murid-murid mesti dilakukan secara bertahap dan berterusan, bukan mendadak.

Maka murid-murid peringkat rendah perlu dipastikan terlebih dahulu menguasai KBAR dan dalam masa yang sama secara berterusan dipupuk elemen KBAT melalui strategi pengajaran dan pembelajaran (PdP). Jika tidak, sukar untuk murid-murid menguasai KBAT.

Murid-murid tahun 1 bermula dengan pelbagai kebolehan kognitif. Ada yang boleh menguasai fakta serta memahaminya dengan mudah dan ada sebaliknya.

KBAT bukan satu konsep yang boleh diajar secara fakta, tetapi perlu dianggap sebagai satu proses perkembangan kognitif berterusan yang memerlukan strategi PdP sesuai dan persekitaran pembelajaran yang membantu.

Saya berpendapat elemen KBAR pada tahap aplikasi dipertingkatkan dalam PdP sebelum dikembangkan kepada elemen KBAT. Begitu juga dengan soalan UPSR, perlu menguji peralihan dari KBAR kepada KBAT.

Tidak perlu tergesa-gesa menguji KBAT diperingkat UPSR ketika kebolehan penaakulan murid baru berkembang. Jika murid-murid gagal menguasai KBAR, maka lagi sukar untuk mereka menguasai KBAT.

Murid tidak menguasai KBAR tidak mempunyai cukup pengetahuan sedia ada untuk digunakan pada tahap KBAT. Natijahnya ramai yang gagal menjawab soalan KBAT UPSR.


Bagaimana dengan strategi pengajaran?

OT: Pengajaran KBAT memerlukan banyak komunikasi dengan murid-murid dilatih bersoal jawab sama ada dengan guru ataupun sesama mereka. Murid-murid perlu dilatih menjalankan aktiviti secara berkumpulan atau individu bagi memberi peluang kepada mereka membina pengetahuan sendiri dan mengaplikasikannya dalam konteks baharu. Ini adalah asas peralihan dari KBAR kepada KBAT.

Murid-murid dilatih memberi penjelasan dan rasional kepada setiap jawapan serta langkah penyelesaian masalah yang mereka cadangkan.

Ini satu langkah melatih mereka dari berfikir secara konkrit kepada berfikir secara abstrak.

Selain itu, latihan yang diberi kepada murid-murid perlu melibatkan skop lebih luas dengan fakta-fakta saling berkait supaya murid dapat memberikan jawapan pelbagai sudut atau melibatkan lebih daripada satu penyelesaian.

Dalam pada itu, murid-murid yang ‘tercicir’ perlu diberikan bimbingan untuk menguasai KBAR supaya mereka tidak menghadapi masalah dalam pengajaran melibatkan KBAT.

Apakah jumlah hanya 1.11 peratus murid dapat straight A’s UPSR tahun ini boleh dikaitkan pelaksanaan KBAT?

OT: Keputusan UPSR format lama 2015 menyaksikan 8.65 peratus pelajar mendapat 6A dan menurun secara mendadak kepada 1.11 peratus pada tahun 2016 apabila format baru KSSR dengan elemen KBAT diperkenalkan. Ini adalah perkara lumrah bagi satu format baru, setelah sekian lama PdP tertumpu kepada pemahaman melalui latih tubi penguasaan fakta.

Format baru UPSR yang memperkenalkan pemarkahan 40 peratus soalan berasaskan KBAT adalah salah satu faktor merendahkan peratus yang mendapat A. Jika soalan format lama masih digunakan pada UPSR 2016, peratus mendapat 6A dijangka berada pada angka sekitar 7 ke 8 peratus seperti tahun-tahun sebelumnya.

Jadi kejatuhan ini mahu tidak mahu akan mempunyai perkaitan dengan format baru UPSR dengan elemen KBAT.

Nasihat Dr supaya murid menguasai KBAT?

OT: Pertama perlu difahami beza antara menguasai KBAT dan menguji KBAT. Seorang mekanik yang kreatif dan inovatif (dalam membuat ubahsuai enjin) dikatakan menguasai KBAT, tetapi berkemungkinan tidak akan menunjukkan pencapaian baik bila diberikan ujian bertulis KBAT berkaitan dengan tugasnya sebagai mekanik, atau sebaiknya pun boleh berlaku.

Apa yang pasti di sini, mekanik tersebut mesti menguasai asas memperbaiki enjin dengan baik.

Maka jalan wajar adalah memperkukuhkan KBAR sambil memupuk KBAT dalam aktiviti PdP. UPSR hendaklah memperbanyakkan soalan aplikasi, bukan lagi tahap hafalan atau pemahaman seperti format lama dengan beberapa soalan berunsur KBAT tetapi masih dalam skop sesuai dengan usia dan persekitaran murid.

Penguasaan KBAT oleh murid terpupuk oleh persekitaran sekolah, bilik darjah, aktiviti pengajaran dan pembelajaran, alat bantu mengajar, pergaulan, komunikasi, aktiviti soal jawab, PBL dan segala yang boleh memberi pengalaman dan pendedahan kepada murid untuk menguasai KBAT.

KBAT bukan seperti mengajar Sains atau Matematik, yang asasnya bersifat algorithmic, KBAT bersifat heuristik. Maka, menguji KBAT dalam satu peperiksaan adalah tidak menepati maksud KBAT itu sendiri.

Dalam lain perkataan, murid menguasai KBAT yang mampu mengeluarkan idea kreatif misalnya (jika itulah matlamatnya) tidak semestinya boleh diukur dengan mendapat A. Jadi, penguasaan KBAT bukan terletak kepada murid sepenuhnya.

Adakah ia hanya mampu dikuasai murid berIQ tinggi atau semua peringkat murid mampu menjawab soalan KBAT?

OT: IQ didefinisikan sebagai, IQ = (Mental Age / Chronology Age) x 100. Jika murid berusia 10 tahun (usia kronologi) mendapat skor 120 (skor IQ) satu ujian piawai, maka usia mental murid tersebut adalah 120=(x/10)100 , x = 12 (usia metal).

Angka ini menunjukkan murid tersebut boleh menjawab soalan yang puratanya boleh dijawab oleh murid 12 tahun. Maka IQ murid tadi terkedepan 2 tahun.

Konsep IQ ini berbeza dengan KBAT. Soalan-soalan piawai dalam ujian IQ, lebih berbentuk tricky berbanding dengan soalan berkaitan KBAT yang ada asas ‘akademik’ dan memerlukan pengetahuan disepadukan dalam konteks pelbagai.

Malah faktor seperti status ekonomi keluarga dan persekitaran pembelajaran berperanan lebih signifikan berbanding IQ dalam kejayaan murid di sekolah, tidak terkecuali penguasaan KBAT.

Apakah boleh dilakukan guru bagi memberi bimbangan supaya murid menguasai KBAT ini?

OT: Guru penting dalam memastikan matlamat murid untuk mengusai KBAT tercapai. Guru perlukan latihan berterusan bagi mengaplikasikan pengajaran secara berkomunikasi, inkuiri, penyelesaian masalah, soal jawab dan pembelajaran berasaskan projek. Guru tidak boleh lagi bergantung kepada pendekatan tradisi talk n chalk!

GPS Bestari

jobs from my.neuvoo.com

Loading...

Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "Kuasai KBAR sebelum KBAT - Dr. Othman Talib"

Posting Komentar