Loading...
SEPANG: Kira-kira 300 jemaah umrah terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), di sini, selepas dipercayai terpedaya dengan pakej umrah murah yang ditawarkan sebuah agensi pelancongan.
Difahamkan, pakej umrah berkenaan berjumlah RM6,500 tetapi mereka hanya perlu membayar RM3,500 dan selebihnya ditaja oleh pihak yang tidak diketahui.
Pengarah Negeri Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Selangor, Arshad Mustapa ketika ditemui berkata, kebanyakan bakal jemaah itu mendakwa mereka rasa tertipu selepas penerbangan beberapa kali ditunda.
"Mereka terbahagi kepada tiga kumpulan dan sepatutnya berlepas pada 27 dan 28 November lalu serta hari ini.
"Tetapi, sehingga kini mereka masih belum mendapat sebarang maklum balas berhubung perkembangan terkini, malah difahamkan agensi pelancongan berlesen itu hanya menghantar ejen saja untuk sebarang urusan penerbangan," katanya.
Sementara itu, seorang bakal jemaah umrah ketika ditemui berkata, beliau sepatutnya berlepas jam 7.30 malam hari ini, tetapi dimaklumkan penerbangan ditunda dan sehingga jam 10.20 malam masih belum mendapat sebarang maklum balas.
"Kebanyakan kami dari Perak serta Johor dan mendapat tahu mengenai pakej umrah ini daripada rakan. Sehingga kini, kami tidak tahu maklumat terkini dan masih menunggu wakil agensi pelancongan itu," katanya.
Ditanya sama ada beliau mengetahui secara lengkap segala maklumat bagi mengerjakan umrah melalui pakej itu, katanya, mereka tidak mendapat maklumat lengkap, termasuk tidak tahu jenis penerbangan dan destinasi pesawat mendarat.
Tinjauan BH mendapati, kumpulan bakal jemaah umrah terbabit berkumpul bersama keluarga masing-masing di terminal pelepasan klia2, malah wakil Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan turut berada di klia2 bertemu dengan bakal jemaah terbabit.
Bagaimanapun, ada segelintir mangsa tidak mahu memberikan kerjasama dengan wakil kementerian dan menganggap mereka tidak tertipu selain reda jika tidak dapat ke Tanah Suci.
Loading...
0 Response to "[TIPU PAKEJ UMRAH] 300 jemaah umrah terkandas di klia2"
Posting Komentar