Loading...

Usah keliru pindaan enakmen peluk Islam dan fatwa hadanah

Loading...

SAYA terpanggil untuk mengulas sedikit mengenai pindaan Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2006 negeri Perlis yang diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN), yang sekali gus menuding jari kepada Islam, dan menghangatkan kembali bual bicara netizen dan pemain politik dalam media sosial.
Apa lagi selepas isu itu diulas sedikit oleh Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
Lalu, ada portal berita dan media sosial yang menggunakan ulasan dan fatwa negeri, sebagai bahan untuk menunjukkan bahawa pindaan enakmen itu bertentangan dengan fatwa.
Contohnya ada berita dengan tajuk ‘Undang-Undang Tukar Agama Di Perlis Bercanggah Fatwa Negeri’ dan ‘Tukar agama anak: DUN Perlis langgar fatwa mufti’.
Sekali imbas, saya meneliti dan mendapati apa yang dipinda oleh DUN Perlis itu adalah berkaitan ‘memeluk agama Islam’ dan apa yang dinyatakan oleh Dr Mohd Asri dalam Facebook beliau yang turut memuatnaik fatwa, adalah berkaitan hadanah (hak jaga anak).
Kedua-duanya berbeza sama sekali.
Mufti sendiri sudah menjelaskan: “Adapun jika anda bertanya tentang fatwa rasmi Jabatan Mufti Perlis tentang hak penjagaan anak yang telah diluluskan oleh MAIPs maka hal itu telah diumumkan sejak lama dahulu. Banyak media telah memetiknya. Di sini sekali lagi disertakan lampiran keputusan fatwa berkenaan.”

Apa yang diterangkan oleh Dr Mohd Asri adalah berkaitan hadanah iaitu hak jagaan anak. (Kata hadhanah adalah bentuk mashdar dari kata hadhnu ash-shabiy, atau mengasuh atau memelihara anak.)
Manakala, apa yang dipinda oleh DUN ialah mengenai memeluk agama Islam. Iaitu pindaan bagi membenarkan hanya seorang sahaja – sama ada ibu atau bapa – mengislamkan anak mereka.
Pindaan itu dibuat terhadap versi bahasa Melayu enakmen berkenaan yang sebelum ini menyatakan bahawa kanak-kanak di bawah usia 18 tahun boleh memeluk Islam dengan kebenaran ‘ibu bapa’ atau penjaga.
Sebelum pindaan, Seksyen 117 iaitu berkaitan keupayaan untuk memeluk agama Islam Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2006 (Bahagian IX – Memeluk Agama Islam) Perlis menyatakan:
Bagi maksud Bahagian ini, seseorang yang tidak beragama Islam boleh memeluk agama Islam jika dia sempurna akal dan –
(a) sudah mencapai umur lapan belas tahun; atau
(b) jika dia belum mencapai umur lapan belas tahun, ibu dan bapa atau penjaganya mengizinkan pemelukan agama Islam olehnya.
Perkataan ‘dan’ dalam ayat sub seksyen b itu dipinda menjadi ‘atau’. Maka, selepas diluluskan akan disebut jika dia belum mencapai umur lapan belas tahun, ibu atau bapa atau penjaganya mengizinkan pemelukan agama Islam olehnya.
Oleh itu, tidak timbul langsung isu hadanah (hak jagaan anak) kerana hak itu terkandung dalam bahagian lain iaitu Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Keluarga Islam 1991.
Dan tidak timbul juga isu pindaan Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2006 negeri Perlis yang diluluskan itu bertentangan dengan fatwa negeri.
Fatwa yang dinyatakan oleh Dr Mohd Asri ialah berkaitan hak jagaan anak. Pindaan enakmen itu pula adalah berkaitan memeluk Islam. Usah keliru. Ternyata kedua-duanya berbeza.
Jadi, saya berpendapat adalah pelik atau mungkin berniat jahat apabila mengatakan pindaan enakmen itu bertentangan dengan fatwa negeri. Wallahualam
Razali bin Zakaria
Pengarang Kanan Ismaweb.net
Loading...

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :

0 Response to "Usah keliru pindaan enakmen peluk Islam dan fatwa hadanah"

Posting Komentar