Loading...
Bot pancung karam: 10 lemas, dua dijumpai selamat
MERSING - Sebuah bot pancung dari Batam, Indonesia dilaporkan karam selepas dipukul ombak kuat dekat perairan Tanjung Rhu, Tanjung Leman awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superitendan Cyril Edward Nuing berkata, pihaknya percaya bot yang membawa kira-kira 40 penumpang itu cuba memasuki Malaysia lewat malam tadi.
"Sembilan mayat iaitu tiga lelaki dan enam wanita ditemui terdampar di tepi pantai oleh nelayan manakala seorang lagi lelaki ditemui kira-kira 6 petang.
"Ada dua mangsa terselamat iaitu seorang lelaki dan seorang wanita yang kita temui di kawasan pantai dan hutan ditemui sekitar 11 pagi," katanya kepada pemberita di pusat kawalan tempat kejadian di sini, petang tadi.
Mangsa yang terselamat dikenali sebagai Zainal Abidin, 28 warganegara Malaysia berdasarkan kad pengenalan penduduk tetap yang ditemui bersamanya manakala mangsa wanita dikenali sebagai Helmy, 20 dari Surabaya.
Manakala kesemua mayat yang ditemui tanpa sebarang dokumen pengenalan diri.
Difahamkan hasil maklumat diterima, bot pancung dari Batam menuju ke Malaysia itu bertolak sekitar jam 8.30 malam tadi dan karam sekitar 4 pagi dekat perairan Tanjung Rhu akibat dipukul ombak.
Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dihubungi nelayan yang menemui mayat terdampar kira-kira jam 9 pagi tadi.
Ketika kejadian hujan lebat berserta angin kuat dan ombak dianggarkan setinggi 2.5 meter sehinga 3 meter.
Menurut Cyril, operasi mencari di laut masih tidak dapat dijalankan ekoran keadaan ombak yang tinggi berukuran antara 3.5 meter hingga 4.5 meter.
"Operasi ditamatkan sekitar jam 5 petang selepas kesemua jenazah selamat dibawa naik ke markas dan akan dihantar ke Hospital Sutan Ismail (HSI) Johor Bahru untuk bedah siasat.
"Setakat ini (jam 5 petang) tiada sebarang tangkapan mahupun penemuan baharu. Dua yang terselamat itu sedang menerima rawatan," katanya.
Sinar Harian difahamkan pihak Hospital Mersing yang merawat Zainal Abidin, keadaannya stabil.
Sementara itu, Konsulat Jeneral Republik Indonesia di Johor Bahru, Wino Sumarno berkata, pihaknya akan memantau operasi tersebut bersama pihak berkuasa Malaysia.
"Kita akan ikuti PDRM untuk selamatkan mangsa dahulu. Jika mangsa meninggal dunia, kami akan cari keluarga mereka dan maklumkan kepada keluarga.
"Kami sangat berterima kasih kepada agensi penguatkuasa Malaysia atas kerjasama yang diberi," katanya ketika ditemui di lokasi.
Loading...
0 Response to "BOT PANCUNG KARAM"
Posting Komentar