Loading...
SHAH ALAM: Datuk Seri Mukhriz Mahathir mencabar bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim untuk mendedahkan bukti dan sumber berhubung dakwaan wujud pakatan sulit untuk 'menaikkannya' sebagai Perdana Menteri jika Pakatan Harapan (PH) memenangi pilihan raya akan datang.
Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu berkata, beliau tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya Tunku Aziz gagal berbuat demikian.
"Saya tuan punya badan menafikan dakwaan itu dan beliau (Tunku Aziz) perlu mendedahkan siapakah pemberi maklumat tersebut.
"Kalau beliau tidak dedahkan saya akan mengambil tindakan undang-undang (saman) ke atasnya selepas ini," katanya yang dipetik Sinar Harian.
Tunku Aziz pada Jumaat lalu mendakwa wujud pakatan sulit antara Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang dipersetujui dalam perjanjian rahsia dimeterai 3 Disember lalu.
Dedah Tunku Aziz, perjanjian itu menetapkan Mukhriz dan Kit Siang masing-masing diangkat sebagai Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri jika pakatan pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Malah katanya, tindakan Kit Siang menamakan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin masing-masing sebagai Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri sementara hanyalah satu cubaan 'political red herring' (politik mengalih tumpuan).
Mengulas lanjut, Mukhriz bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkannya sebagai fitnah.
Katanya kenyataan Tunku Aziz itu sengaja dikeluarkan bagi mengelirukan rakyat tentang tujuan sebenar PPBM dan PH.
Katanya, PPBM hanya ingin menyelamatkan negara dan isu mengenai soal kepentingan peribadi tidak pernah timbul.
"Sebelum ini perkara sama pernah dibangkitkan oleh Setiausaha Akhbar Perdana Menteri Datuk Seri Tunku Sharifuddin Tengku Ahmad dan saya telah mengambil tindakan saman ke atas beliau.
"Tindakan sebegini seolah-olah seperti memperlekehkan usaha PPBM yang ingin menyelamatkan Malaysia,"katanya lagi.
Loading...
0 Response to "Mukhriz cabar Tunku Aziz dedah bukti wujud pakatan sulit"
Posting Komentar