Loading...

Ketua Pembuli akan digantung 6 bulan, 'konco-konco' 2 bulan

Loading...
SUNGAI PETANI 25 Feb. - Pelajar yang didapati bersalah menjadi ketua pembuli akan dikenakan hukuman gantung sekolah selama enam bulan manakala pengikut selama dua bulan berkuat kuasa serta-merta.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, beliau menandatangani arahan itu semalam bagi membolehkan Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pihak sekolah menangani kes buli.

Menurutnya, hukuman gantung sekolah sehingga enam bulan itu bergantung kepada kesa­lahan pelajar berkenaan setelah selesai siasatan pihak berkenaan.

“Siasatan terperinci harus dijalankan sebelum menjatuhkan hukuman. Hukuman misalnya untuk ketua pembuli mungkin sehingga enam bulan sementara pengikutnya mungkin lapan ming­gu,” katanya.

“Walaupun ada yang cakap apa mereka (pembuli) akan buat ketika digantung sekolah, mereka akan diberi pemulihan antaranya ditempatkan sementara di sekolah pemulihan akhlak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis Dialog Pendidikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) sempena Karnival Pendidikan di Universiti AIMST Bedong di sini hari ini.

Mahdzir mengulas tentang kejadian seorang pelajar tingkatan satu sebuah sekolah di Bandar Sri Damansara dekat Petaling Jaya semalam yang cedera di kepala dipercayai akibat dipukul oleh dua pelajar tingkatan tiga sekolah berkenaan.

Katanya, kementerian memandang serius kes buli di sekolah terutama yang melibatkan kece­deraan serius kepada mangsa.

Jelasnya, hukuman yang dilaksanakan itu walau bagaimanapun tidak membabitkan kes yang dikategorikan jenayah sehingga disiasat polis.

Menyentuh tentang majlis berkenaan katanya, dialog pendidikan yang merupakan sebahagian daripada program Karnival Pendidikan itu diadakan antaranya dalam usaha memastikan aspirasi dalam PPPM tercapai.

“Siri jelajah Karnival Pendidikan ini akan diadakan di 12 tempat di seluruh negara dan bermula di Sungai Petani hari ini. Tujuannya untuk memaklumkan kepada masyarakat apa yang kementerian sedang buat melalui dasarnya dan paling penting mengenai PPPM iaitu bagaimana hendak membawa kepada Transformasi Nasional 2050 (TN50),” katanya.

jobs from my.neuvoo.com

Loading...

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :

0 Response to "Ketua Pembuli akan digantung 6 bulan, 'konco-konco' 2 bulan"

Posting Komentar