Loading...

Misteri Negara Korea Utara

Loading...
Korea Utara merupakan salah satu negara yang mempunyai kawalan ketat di dunia lebih lagi apabila berhadapan dengan pihak media namun apabila satu kumpulan wartawan daripada CNN berjaya mendapat kebenaran untuk melaporkan keadaan di negara itu, ia merupakan satu peluang keemasan bagi mereka.

Negara paling misteri

Walaupun negara itu masih mengamalkan dasar tertutup kepada sebahagian besar dunia di luar sana, namun para wartawan ini mendapat akses untuk menyaksikan kehidupan rakyat biasa di kota itu serta menemu bual mereka.

Selain itu, mereka juga berpeluang melakukan ‘Facebook live’ selama 20 minit dari dalam Korea Utara yang menunjukkan keadaan di ibu kota negara itu sambil diiringi oleh pegawai-pegawai kerajaan yang bertindak sebagai pemandu pelancong.

Namun begitu, mereka juga akan melaporkan pada pegawai atasan apa yang dilakukan oleh para wartawan semasa merakam.

Semasa di Pyongyang, mereka sempat mengadakan wawancara bersama pakar ekonomi Korea Utara, Profesor Ri Gi Song dan berbual mengenai hubungan perdagangan negara itu dengan China, pasaran bawah tanah serta pekerjaan yang mendapat bayaran tertinggi di sana iaitu pelombong arang batu dan buruh kasar.

Menurut Si-gong, kerja-kerja fizikal yang mencabar lebih cenderung untuk membayar gaji yang lebih mahal berbanding dengan pekerjaan di pejabat.

“Walaupun kerja-kerja fizikal ini gaji lebih banyak namun ia masih lagi kurang daripada standard di negara barat namun saya tidak boleh memberitahu berapa jumlahnya.

“Selain itu, keluaran dalam negara kasar (KDNK) per kapita juga tidak lebih daripada AS$1,000 (RM4,445) setiap tahun,” katanya.

Sementara itu, kedai-kedai di sini turut menjual barangan berjenama dari pereka terkenal seperti Hermes, Versace, Gucci dan lain-lain.

Terdapat juga kedai-kedai yang menjual alatan elektronik canggih serta jualan makanan tempatan hinggalah barat.

Berbeza dengan imej masyarakat di Korea Utara yang sering dikatakan dalam kebuluran akibat tidak mempunyai makanan yang cukup.

Bagaimanapun, para wartawan tersebut tidak dibenarkan keadaan rakyat yang tinggal di luar kawasan ibu kota di mana Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan keadaan suram menyelubungi mereka di sana.

Di samping itu, rakyat di sini juga mempunyai akses yang sangat ketat kepada dunia luar di mana segala yang disiarkan di televisyen atau radio haruslah mendapat kelulusan daripada kerajaan dahulu.

Rakyat biasa tidak mempunyai kemudahan internet dan membuat panggilan antarabangsa oleh itu, bahan berita mereka hanyalah menerusi televisyen dan radio sahaja.

Selama berdekad, mereka ini sering disajikan dengan propaganda ancaman daripada kuasa luar seterusnya mengetatkan pengurusan ketenteraan di negara itu.

Walaupun kini negara itu perlahan-lahan membuka ‘pintu’ mereka kepada negara luar namun ia masih lagi menggunakan terma dan syarat mereka sendiri. -sh

**Laporan ini ditulis oleh wartawan CNN, Will Ripley

Negara misteri

Kampung nelayan Jung Pyong Ri

Korea Utara antara negara paling misteri di dunia dan hanya pelancong bertuah dapat berkunjung ke negara itu yang mengamalkan dasar tertutup.

Seorang pengembara dan jurugambar, Eric Lafforgue antara individu bertuah yang dibenarkan melawat Korea Utara sebanyak lima kali.

Eric Lafforgue, kali pertama melancong ke negara komunis itu pada 2008 dan pada kali terakhir dia melawat sebuah kampung nelayan terpencil, Jung Pyong Ri di wilayah Hamgyong Utara.

Lelaki itu yang kini diharamkan kembali ke Korea Utara memberitahu, kampung itu mempunyai pantai dengan pasir memutih yang tidak pernah dilihatnya sebelum ini.

Katanya, untuk sampai ke kampung itu, dia perlu menaiki bas selama berjam-jam melalui jalan yang tidak berturap dan berlubang-lubang.

“Sampai di kampung itu saya dan pemandu pelancong tinggal di sebuah rumah tumpangan yang dibina daripada kayu.

“Saya tidur di dalam bilik berdekatan dengan peti sejuk yang mempunyai ikan busuk di dalamnya sehingga menyebabkan baju saya berbau.

“Rumah itu mempunyai sistem pemanas daripada sumber kayu api yang disalurkan di lantai kayu. Sistem ini sukar dikawal suhunya menjadikan bilik saya seperti ketuhar,” jelasnya.

Bekalan elektrik di kampung ini ditutup pada jam 9 malam tetapi penduduk biasanya menghiburkan diri dengan menyanyi dengan diterangi cahaya lilin.

“Sebelum tidur mereka bersama-sama menyanyikan lagu kebangsaan Korea Utara,” katanya.

Menurutnya, majoriti penduduk di kampung itu dihimpit kemiskinan dan mereka banyak bergantung hidup kepada hasil laut.

“Kebanyakan rumah dan bangunan di kampung ini kelihatan suram, usang dan ada sebahagian atapnya hampir runtuh.

“Hanya gambar mural besar bekas pemerintah Korea Utara, Kim Il Sung di sebuah bangunan yang berwarna di kampung ini,” ujarnya.

Pemandu pelancong Lafforgue memberitahu, tidak ramai pelancong boleh mengembara ke Korea Utara sejauh itu.

Biasanya, hanya pelancong dari negara komunis seperti China yang sering melawat Korea Utara.

“Mungkin saya orang Eropah pertama yang berjaya sampai sejauh ini,” jelasnya.

Kata Lafforgue, penduduk di Korea Utara sebenarnya sangat peramah dan sangat gembira apabila ada pelancong yang datang ke kampung mereka.

“Penduduk di sini menggesa saya kembali ke kampung ini dan saya berjanji, tetapi saya tahu janji itu tidak dapat ditepati.

“Sejak mengucapkan selamat tinggal yang terakhir, saya diharamkan daripada kembali ke Korea Utara,” katanya. -hm

Hukuman bunuh paling kejam

Meriam anti-pesawat Korea Utara

Seramai lima pegawai tentera Korea Utara dihukum bunuh setelah berlakunya kes pembunuhan Kim Jong-nam, di KLIA2, 13 Februari 2017, lapor Reuter.

Kesemua pegawai terbabit dihukum dengan tembakan meriam anti-pesawat kerana didakwa bersalah memberikan maklumat palsu kepada kerajaan.

Inilah hukuman mati dijatuhkan buat pertama kali ke atas pegawai tentera Korea Utara selepas kematian Jong-nam, abang tiri kepada pemimpin tertinggi negara itu, Kim Jong-un.

Bagaimanapun, menurut laporan, tidak dipastikan apakah maklumat palsu itu berkaitan dengan kematian Jong-nam atau tidak.

Pada masa yang sama, Menteri Keselamatan Negara Korea Utara, Kim Won Hong turut menerima hukuman apabila dikurung atas kesalahan yang sama, iaitu menyalurkan berita palsu kepada pihak kerajaan.

Pada awal bulan lalu, Wong Hong dipecat kerana bersabit kesalahan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan melanggari hak asasi manusia.

Sejak Jong-un dilantik menjadi presiden pada tahun 2011, sekurang-kurangnya 340 pegawai tentera dan kakitangan kerajaan telah menerima hukuman mati.

Atas arahan Jong-un, salah satu bentuk hukuman mati yang dikenakan terhadap pesalah adalah menggunakan meriam anti pesawat sehingga menyebabkan seluruh badan pesalah berkecai sepenuhnya.

Difahamkan, ketika menerima hukuman, semua pesalah hanya diletakkan pada jarak 100 kaki daripada meriam berkenaan. -sh

Mengapa Korea Utara mahu Jong-nam mati?

Kim Jong-nam
Kim Jong Il bersama anaknya Kim Jong-nam (duduk).

Sehingga ke hari ini, misteri kematian Kim Jong-nam, anak lelaki sulung bekas pemimpin utama Korea Utara, mendiang Kim Jong-il, masih diselubungi misteri.

Selepas kematiannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), 13 Februari lalu, polis mengenal pasti dan memburu empat suspek lelaki warga Korea Utara yang disyaki dalang kepada pembunuhan abang tiri pemimpin utama negara berkenaan, Kim Jong-un.

Korea Selatan yang sekian lama bermusuhan dengan negara itu, menyelar pembunuhan tersebut dengan mengatakan ia satu bentuk tindakan keganasan daripada Kerajaan Korea Utara.

Persoalan di sini, mengapa Pyongyang sanggup membunuh ahli keluarga dinasti pemerintah mereka?

Penganalisis mahupun pakar sukar untuk mengenal pasti punca sebenar, namun perbezaan dengan sekutu dan negara jiran, China serta persaingan antara adik-beradik dalam merebut takhta antara punca yang berkait rapat.

Hubungan dengan China?

Pada 2001, Jong-nam ditangkap selepas cuba memasuki Jepun dengan menggunakan pasport palsu untuk berhibur di Disneyland Tokyo.

Perbuatannya itu menjatuhkan maruah Korea Utara lantas harapannya untuk menjadi orang nombor satu negaranya, menggantikan Jong-il, musnah.

Bermula 2003, Jong-nam menetap di Macau dan diberi perlindungan oleh China.

Sejak itu, Jong-nam kerap berkunjung ke China dan mengukuhkan kedudukan bersama Beijing terutama menerusi bapa saudaranya, Jang Song-thaek, iaitu individu nombor dua berkuasa di Korea Utara selepas Jong-il.

“Song-thaek merupakan lelaki China di Pyongyang. Dia adalah sumber Jong-nam dan disebabkan itu, China memberi perlindungan kepadanya,” kata Pengarah Program East Asia Non-Proliferation, Dr Jeffrey Lewis kepada CNN.

Pada 2013, di bawah pimpinan Jong-un, Korea Utara melakukan ‘pembersihan’ dalam kalangan pemimpin mereka dan Song-thaek antara individu yang menjadi mangsa.

Dilaporkan bahawa Song-thaek dijatuhkan hukuman bunuh selepas didakwa sebagai pengkhianat Korea Utara.

Kematian Song-thaek merupakan kehilangan yang besar buat Jong-nam.

Kerap mengkritik Korea Utara secara terbuka

Ketika melanjutkan pengajian di Switzerland, Jong-nam kerap bercanggah pendapat dengan bapanya terutamanya berkaitan dengan soal negara.

Itu adalah permulaan di mana hubungan dua beranak itu dingin. Jong-il merasakan bahawa anaknya itu sudah dipengaruhi pemikiran Barat.

Kemuncak hubungan mereka terhapus selepas cubaan Jong-nam memasuki Jepun yang dilihat sebagai satu penghinaan.

Rentetan itu, paling ketara, Jong-nam lantang memberikan kenyataan terhadap Korea Utara menerusi media Jepun, Asahi TV.

Jong-nam menyatakan tidak bersetuju dengan sistem peralihan kuasa di Korea Utara dengan mewariskan kepada generasi seterusnya.

Tetapi, beliau tidak menentang atau tertarik untuk menyertai arena politik di dalam negaranya.

“Saya tidak tertarik untuk ikut menjadi pewaris kerajaan (Korea Utara). Maaf, kerana saya tidak tertarik dengan politik. Tetapi, apa pun keputusan ayah, saya pasti akan saya sokong,” kata Jong-nam.

Perebutan kuasa antara Jong-nam, Jong-un?

Melalui buku tulisan Yoji Gomi, My Father, Kim Jong-il, and Me, Jong-nam juga menggunakan medium itu untuk menghentam Korea Utara.

Melalui buku itu, Jong-nam menegaskan bahawa Korea Utara tidak akan maju jika tidak melakukan pembaharuan ekonomi.

Paling memberi kesan terhadap pimpinan Jong-un, Jong-nam menjelaskan bahawa adik tirinya itu tidak akan berjaya sebagai seorang pemimpin.

Gomi juga mendedahkan, bahawa dua beradik itu tidak pernah bersemuka.

Biarpun Jong-nam menegaskan dirinya tidak berminat untuk memimpin negara kelahirannya, namun Jong-un tetap merasakan kedudukan bakal tergugat.

Pada 2012, Jong-nam dilaporkan cuba dibunuh oleh perisik Korea Utara namun gagal.

Ahli Jawatankuasa Perisikan Parlimen Korea Selatan, Kim Byung-kee mendedahkan, Jong-nam pernah menghantar surat kepada Jong-un supaya mereka sekeluarga tidak dibunuh.

Surat itu berbunyi; ‘Tolong jangan ganggu saya dan keluarga. Kami tidak mempunyai tempat untuk dituju. Kami tahu satu-satunya jalan untuk melepaskan diri ialah dengan membunuh diri’.

Surat itu dihantar pada April 2012 selepas cubaan membunuhnya pada tahun yang sama. -sh

BACA INI JUGA: 10 Selebriti Wanita K-Pop Korea Paling Cantik 2016

-SENTIASAPANAS.COM

Loading...

Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "Misteri Negara Korea Utara"

Posting Komentar