Loading...
Korea Utara akan lupus mayat Jong Nam, hapuskan bukti pembunuhan
Pyongyang akan isytihar lelaki itu meninggal dunia kerana sebab semula jadi dan menyalahkan musuhnya kerana kontroversi itu, kata penganalisis.
SEOUL: Niat Korea Utara untuk mendapatkan mayat abang sebapa pemimpin Kim Jong Un yang mati dibunuh adalah untuk memusnahkan bukti yang boleh membabitkan rejim negara berkenaan dengan pembunuhan kejam itu, kata penganalisis.
Kim Jong Nam dibunuh dengan ejen saraf VX pada 13 Februari di klia2, dalam satu operasi klinikal kejam yang menyingkirkan potensinya menuntut takhta Kim – mangsa ialah anak sulung Kim Jong Il, yang kononnya memalukan Pyongyang.
Pembunuhan itu mencetuskan ketegangan diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara, hingga membawa kepada pengusiran duta masing-masing dan melarang warga kedua-dua negara meninggalkan Korea Utara dan Malaysia.
Tetapi dalam rundingan yang diumumkan kedua-dua negara, mereka berkata sekatan perjalanan akan dihentikan dan Kuala Lumpur akan menghantar mayat itu ke Korea Utara.
Penganalisis berkata Pyongyang akan melupuskan mayat itu serta-merta dan cuba menguburkan isu itu.
“Mereka akan bakar mayat itu,” kata Kim Kwang Jin, seorang warga Korea Utara yang lari meninggalkan negara itu dan kini bertugas sebagai penyelidik di Institut Strategi Keselamatan Negara di Seoul.
Pyongyang akan mengisytiharkan mangsa meninggal dunia kerana sebab semula jadi dan menyalahkan kontroversi itu kepada musuhnya, kata penganalisis.
“Korea Utara akan kata rakyatnya bernama Kim Chol meninggal dunia kerana serangan jantung dan mendakwa musuh Korea Utara dan AS mengecohkan drama itu,” katanya.
Pyongyang enggan mengesahkan identiti mangsa, yang membawa pasport Korea Utara dengan Kim Chol ketika dia dibunuh.
Malaysia bagaimanapun secara rasmi mengesahkan identiti mangsa menggunakan bukti DNA, dan berkata ia menunggu waris untuk menuntut mayat.
Kenyataan bersama merujuk kepada Korea Utara memberikan dokumentasi daripada keluarga yang mungkin Jong Un sendiri atau ahli keluarga lain, bukannya isteri atau anak kepada si mati.
Pada masa sama, memusnahkan bukti juga mengelak ia menjadi tumpuan kepada musuh rejim, kata Kwang Jin yang bekerja di syarikat insurans negara di Korea Utara sebelum lari ke Korea Selatan.
“Memang mereka mahukan mayat itu kerana ia akan terus menarik perhatian jika ia berada di tempat lain,” katanya.
Semua orang tahu
Korea Selatan menyalahkan Pyongyang atas pembunuhan gaya Perang Dingin itu, memetik pegawai rasmi sebagai berkata ia perintah tetap daripada pemimpin Korea Utara untuk menyingkirkan abangnya itu yang hidup dalam buangan.
Beberapa penganalisis berkata Korea Utara akan sangat berahsia mengenai pengendalian mayat Jong Nam bagi menyembunyikan kebenaran insiden itu, malah ia juga merahsiakannya daripada rakyat sendiri.
“Kewujudan Kim Jong Nam dan pembunuhannya seperti kotak Pandora yang tidak boleh diketahui oleh rakyatnya sendiri,” kata Kim Yong Hyun, profesor pengajian Korea Utara di Universiti Dongguk.
“Semuanya akan dibuat dalam rahsia dengan prosedur minimum,” katanya.
Bagaimanapun, penganalisis berkata mendapatkan mayat itu tidak akan menenggelamkan kesan pembunuhan itu terhadap Pyongyang.
“Kes ini ditutup untuk masa ini dan pertukaran mayat itu kejayaan kecil bagi Korea Utara,” kata Chang Yong Seok, penyelidik kanan di Institut Pengajian Aman dan Penyatuan Universiti Seoul.
Beliau berkata Pyongyang tetap mengalami “kerosakan yang tidak boleh dibaiki” daripada pembunuhan Jong Nam, mengukuhkan lagi imejnya yang tidak berperikemanusiaan dan terus bertelagah dengan beberapa rakan diplomatiknya.
Korea Selatan berulang kali merujuk pembunuhan itu sebagai contoh jelas kepimpinan Korea Utara yang kejam dan bertindak melulu.
“Sama ada Korea Utara mengakuinya atau tidak, semua orang tahu siapa yang buat,” kata Yong Seok.
Loading...
0 Response to "Korea Utara akan lupus mayat Jong Nam, hapuskan bukti pembunuhan"
Posting Komentar