Loading...
shahbudindotcom
Kemelut Akta 355 boleh dikata sudah pun berakhir sekarang ini. Hampir tiada harapan lagi untuk melihatnya dapat dibentangkan, apatah lagi untuk diluluskan. Kalau ada pun harapannya, ia hanyalah tinggal senipis kulit bawang saja lagi.
Apa pun janji yang dilafazkan, antaranya dengan mengatakan Speaker Parlimen tentu ada kebijaksanaan untuk memberi ruang kepada Hadi Awang untuk membentangkannya, ia tidak lebih sekadar janji palsu semata-mata.
Najib Razak, UMNO dan BN sebenarnya sedang menjadikan Speaker Parlimen sebagai perisai untuk menyelamatkan diri mereka.
Begitu juga dengan kata-kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Asyraf Wajdi Dusuki yang mengatakan, keengganan kerajaan membentangkan usul Akta 355 tidak bermakna kerajaan tidak mahu menyokongnya, turut merupakan janji palsu belaka.
Malah, ini merupakan janji palsu paling dahsyat daripada seorang yang berkuasa berkaitan kepentingan agama. Ia ibarat seorang teruna yang sudah termengandungkan seorang wanita secara luar nikah, kemudin berjanji untuk kahwin, tetapi dengan syarat jika seluruh keluarganya memberi keizinan terlebih dahulu.
Menurut kata Mahfuz Omar, Ahli Parlimen Pokok Sena, apa yang berlaku dalam isu Akta 355 ini ialah kerana kedua-dua pihak, UMNO dan Pas, bersifat gelojoh serta tidak mengikut road map atau hala tuju yang sepatutnya berkaitan usul tersebut.
Kedua-dua pihak, kata beliau, sepatutnya mengikut road map jawatankuasa teknikal yang telah ditubuhkan oleh kerajaan Pusat dan kerajaan Kelantan suatu ketika dahulu.
"Road map itu adalah bagi membolehkan enakmen jenayah di negeri Kelantan dapat dilaksanakan iaitu dengan meminda Akta 355 dan jawatankuasa juga bersetuju pindaan itu mesti dibawa oleh kerajaan kerana ia di bawah bidang kuasa mereka.
"Jadi, akibat daripada tindakan tidak mengikut road map yang telah ditetapkan iaitu menjadikannya sebagai usul persendirian, maka ia telah menyebabkan keadaan menjadi celaru," kata Mahfuz.
Terbukti di sini bahawa kecelaruan dan kekeliruan berkaitan Akta 355 adalah kerana keinginan Najib dan Hadi menjadikannya sebagai isu politik untuk kepentingan UMNO, Pas serta untuk mengaburi rakyat melalui hubungan mesra mereka.
Di pihak Hadi dan Pas, mereka bukan saja berceramah, berkempen, mengajak rakyat bermunajat, bersolat hajat dan berhimpun di Padang Merbok serta meminta seluruh umat Islam bersama mereka, sedangkan sejak awal mereka tahu bahawa road map yang sepatutnya langsung tidak diikuti.
Akhirnya, semua orang jadi keliru dan celaru.
Begitu dengan Najib dan UMNO. Beliau juga tahu dan pasti sedar bahawa road map yang sepatutnya tidak dilalui dan sebelum sesuatu mahu dilaksanakan, persetujuan parti-parti komponen BN wajar dirundingi terlebih dahulu. Lebih-lebih lagi jika daripada awal ada parti-parti komponen yang menyuarakan bantahan.
Tetapi, mengapa Najib dengan berdegar-degar dalam Perhimpunan Agung UMNO berani mengatakan kerajaan akan mengambil alih usul Akta 355 itu?
Mengapa Najib memberi sokongan penuh kepada Perhimpunan Ungu di Padang Merbok, bukan saja dengan menghantar Jamil Khir Baharom menghadirinya, malah turut berkirim salam kepada para peserta?
Mengapa juga Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri turut memberi jaminan yang sama iaitu kerajaan akan mengambil alih usul berkenaan dengan hujah kononnya sebagai langkah komited kerajaan meletakkan perundangan Islam di tempat yang sewajarnya?
Mengapa begitu berani untuk menjerit, bertempik dan bersorak terlebih dulu sedangkan mesyuarat BN belum pun diadakan?
Akhirnya, apabila konsensus gagal dicapai dan kerajaan tidak jadi mengambil alih usul tersebut yang dilihat semata-mata kerana tunduk dengan ugutan MCA, MIC dan Gerakan, rakyat juga jadi keliru dan celaru?
Natijahnya, Najib dan Hadi, sama-sama memikul tanggungjawab telah mengelirukan umat Islam negara ini.
Hadi, bermula dengan Amanat Haji Hadi yang menyebabkan umat Islam berpecah, wujudnya dua iman, pasangan bercerai, suka melabel orang lain sebagai kafir, taghut, assabiyah, barua dan munafik sehinggalah kepada isu Akta 355, sudah terlalu banyak menimbulkan kekeliruan dan kecelaruan dalam masyarakat.
Najib, dengan pelbagai skandal dan imej buruknya di dalam negara dan di mata dunia, turut sama menimbulkan kekeliruan dan kecelaruan atas banyak tindakannya dan yang terbaru ialah u-turnnya berkaitan Akta 355.
Loading...
0 Response to "NAJIB, HADI SUDAH WAJAR DIBERSARAKAN"
Posting Komentar