Loading...
Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) menubuhkan 'pasukan petugas' untuk melaksanakan langkah jangka pendek dan panjang dalam menambah baik pengurusan senjata api ekoran kes kehilangan senjata
api milik Rela Selama, Perak.
RELA dalam satu kenyataanya hari ini berkata pasukan petugas berkenaan dianggotai pegawai dari pelbagai agensi yang antara lain berperanan mengkaji semula segala arahan termasuk manual pengurusan senjata api sedia ada.
Ia turut melaksanakan pemeriksaan menyeluruh terhadap senjata api, menambah baik stor penyimpanan senjata api, meningkatkan kemahiran anggota RELA dalam pengurusan persenjataan dan mengkaji keperluan jawatan tambahan bagi mengurus semua hal berkaitan senjata api, katanya.
Pasukan itu juga berperanan menubuhkan pasukan naziran yang terdiri dari pegawai Rela di ibu pejabat, Rela Negeri dan Pusat Latihan RELA Malaysia, katanya.
"Langkah-langkah penambahbaikan jangka pendek dan panjang tersebut dijangka akan dapat menambah baik pengurusan senjata api Rela Malaysia," katanya.
RELA berkata ia akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis dalam siasatan kes kehilangan senjata api itu.
"RELA Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dan menyokong tindakan tegas diambil terhadap mereka," katanya.
Polis sebelum ini mengesahkan 26 laras senjata api milik RELA dikesan
hilang di stor Rela Wilayah Utara, Bukit Selambau, Sungai Petani, Kedah sejak awal bulan ini selepas semakan semula dilakukan. -Bernama
Loading...
0 Response to "RELA kaji semula pengurusan senjata api"
Posting Komentar