Loading...

1MDB: Penyelesaian Atas Kertas

Loading...
A Kadir Jasin


ADALAH kebiasaan dalam dunia politik dan korporat bagi pesertanya mengalu-alukan berita baik kerana berita baik memberi keuntungan.
Satu perkembangan yang diura-urakan mempunyai ciri baik atau positif itu adalah berita Malaysia capai persetujuan dengan Abu Dhabi untuk selesaikan kes saman timbang tara di Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa, London.

Kalau kita masih ingat, pihak berkuasa Abu Dhabi saman kerana 1MDB tidak bayar balik hutang.

Di bawah penyelesaian itu, 1MDB melalui kerajaan Malaysia akan bayar kerajaan Abu Dhabi AS$2.5 bilion (kira-kira RM11.25 bilion pada kadar tukaran hari ini) bagi melupuskan sebahagian hutang 1MDB.

Menurut laporan media antarabangsa, kedua-dua buah negara juga bersetuju untuk tidak menggunakan saluran undang-undang sebelum Disember 2020 dalam merundingkan pertikaian mengenai AS$3.5 bilion (kira-kira RM15.75 bilion) lagi hutang yang bersangkut-paut dengan dua bon lain yang dikeluarkan oleh 1MDB.

Penyelesaian itu digambarkan sebagai baik. Tapi apalah baiknya kena bayar balik hutang bilion ringgit dan pada masa yang sama berbilion hilang dalam kecurian.

Yang sudah disahkan adalah lebih AS$600 juta masuk ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil), Mohd Najib Abdul Razak di Arab Malaysia Bank, Kuala Lumpur pada tahun 2013.

Dalam kadar tukaran masa itu jumlahnya RM2.6 bilion. Najib dan konco-konconya cuba kelentong kata duit itu derma Arab dan sebahagian besarnya dipulangkan.


Selesai atau tidak, beban hutang 1MDB tetap terpikul di atas bahu rakyat jelata dan pembayar cukai. Ini adalah kerana semua hutang dan tanggungan 1MDB telah dipindahkan kepada Kementerian Kewangan.
Bagi orang politik, terbabit dalam berita baik memberikan mereka keuntungan politik dan bagi ahli perniagaan, berita baik mungkin menyebabkan harga saham mereka naik.
Jadi adalah kebiasaan bagi mereka tumpang sekaki. Kalau boleh mereka akan mengaku terlibat membawa perkhabaran baik itu. Paling-paling busuk pun mereka akan  mengalu-alukannya.
Menteri Sendiri Tak Percaya
Tapi apabila Menteri Kewangan Kedua, Johari Abdul Ghani, sendiri menafikan penglibatan dengan “penyelesaian” itu, jelaslah ia bukan penyelesaian sebenar atau meyakinkan apatah lagi menguntungkan negara.
Johari: Saya tidak terlibat
Kalau ia penyelesaian sebenar dan diyakini, orang politik macam Johari tentulah akan cuba tumpang sekaki.
Sebaliknya, dia berkata dia tidak terlibat dengan penyelesaian itu sambil menambah bahawa ia adalah kerja 1MDB dan Jabatan Perdana Menteri.
Dia sekadar berkata angka-angka yang dia tengok mengenai penyelesaian itu meyakinkan. Satu hujah yang selamat sekadar melepas batuk di tangga.
Mudah cakap, saya kata macam ini. Jentera propaganda kerajaan dan panglima siber A9 Umno boleh berbohong kepada sesetengah orang kampung, orang Felda dan orang PPRT tetapi mereka tidak boleh kelentong orang dalam kelas Johari.
Busuk-busuk pun Johari ada pengalaman korporat. Saya kenal dia sejak dia bekerja dengan anak syarikat Kumpulan New Straits Times Press (M) Berhad sehinggalah dia jadi Pengarah Urusan CI Holdings Berhad. Jadi dia tahu hal korporat dan hutang-piutang.
Maaflah kalau saya terlepas pandang. Saya tidak terbaca berita orang politik dan korporat mengalu-alukan berita penyelesaian itu, kecuali sekarat dua.
Hatta panglima A9 Umno yang baru saja diarah “attack attack attack attack” oleh Najib pun nampaknya tidak berapa ghairah menguar-uarkan penyelesaian ini.
Adakah mereka tidak faham, tidak yakin, tidak menghargai sumbangan JPM atau mereka tidak mahu terus terpalit dengan najis 1MDB? Boleh jadi.
Masalah 1MDB Belum Selesai 
Hutang 1MDB sebanyak RM11.25 bilion yang setuju dibayar kepada Abu Dhabi dengan bantuan kerajaan itu hanyalah sebahagian daripada hutangnya yang menggunung.

Menurut laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara Parlimen (PAC), hutang 1MDB pada bulan Januari 2016 berjumlah RM50 bilion dan bukan lagi RM42 bilion seperti yang didakwa oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kerajaan kata, hutang 1MDB kepada bank sudah selesai. Mungkin benar. Tapi bukan kerana 1MDB ada banyak duit, sebaliknya kerana hutang dan tanggungannya diambil alih oleh kerajaan.

Bila jadi hutang negara, rakyat jelata dan pembayar cukai lah yang kena tanggung. Kita dan anak cucu kitalah yang kena bayar.

Itu baru hutang 1MDB. Tak kira lagi hutang kerajaan yang lain yang naik melambung di bawah kelolaan Najib sebagai Menteri Kewangan.

Yang terbaru laporan Bank Negara mengatakan hutang luar negara kita telah naik kepada RM908.7 bilion pada suku keempat tahun lalu, iaitu paras paling tinggi dalam masa hampir 20 tahun.

Majoriti pengamal media massa arus perdana prokerajaan dan panglima A9 mungkin tidak faham ekonomi untuk mengetahui bahawa apa yang berlalu sekarang adalah kesan lingkaran ganas (vicious cycle) yang berpunca daripada hutang negara yang tinggi, ekonomi yang lembap, skandal 1MDB, rasuah dan kurang kepercayaan kepada kerajaan dan banyak lagi faktor-faktor negatif.


Semua petunjuk utama ekonomi merudum. Nilai ringgit jatuh, pengangguran meningkat kepada lebih setengah juta orang, kira-kira 200,000 graduan tidak ada kerja, inflasi naik ke paras paling tinggi dalam masa lapan tahun (sama dengan tempoh Najib jadi PM), hutang kerajaan melambung ke tahap paling tinggi dalam sejarah dan kewangan kerajaan lemah.

Senarai bencana ekonomi dan sosial ini terterusan. Lagi rendah peringkatnya, lagi parah masalahnya. Sampai ada menteri kelas ayam yang cadangkan pesakit pulangkan ubat yang tidak habis dimakan.

Kerana Najib Sayang Jho Low

Yang sangat tidak adil dan mendukacitakan adalah tujuan tersirat pemindahan hutang dan tanggungan 1MDB kepada kerajaan melalui Kementerian Kewangan kerana mahu menyelamatkan Jho Low dan menutup mulut bekas-bekas pegawai 1MDB.

Jho Low (kiri sekali) kunci keselamat isi rumah Najib
Kalau Jho Low ditangkap dan disiasat, habislah Najib dan isi rumahnya.

Natijahnya, selagi Najib dan Barisan Nasional berkuasa, bolehlah mereka timbus bangkai gajah Tok Mia 1MDB dan SRC International Sdn Bhd.

Mereka boleh guna berbagai-bagai tindak-tanduk korporat, pentadbiran, kehakiman dan kepolisan untuk menutup bangkai 1MDB.

Tetapi seandainya kerajaan baru mengambil alih, bangkai itu boleh digali semula. Kalau sudah reput pun boleh dibangkitkan semula kerana DNA 1MDB sudah bertaburan di merata dunia.

Wallahuaklam

Loading...

Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "1MDB: Penyelesaian Atas Kertas"

Posting Komentar