Loading...
Mengikut kronologi sejarah, Parlimen Persekutuan sebagai penggubal undang-undang telah meluluskan dan mewartakan Akta 355 pada tahun 1965 dengan mengambil punca kuasa daripada Perlembagaan Persekutuan pada Butiran 1, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan. Bahagian yang bersesuaian daripada Butiran tersebut ialah urusan berkaitan Islam dan urusan negeri termasuklah, “...keanggotaan, susunan dan tatacara mahkamah Syariah, ... tetapi tidak mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan kecuali setakat yang diberikan oleh undang-undang persekutuan;....".
Tajuk panjang dan mukadimah Akta 355 dinyatakan bahawa ia bertujuan memberikan bidang kuasa kepada Mahkamah yang ditubuhkan di bawah undang-undang negeri bagi mengendalikan kesalahan-kesalahan di bawah undang-undang Islam. Ia bertujuan untuk membezakan kesalahan atau jenayah yang berada dalam Senarai Persekutuan dan Senarai Negeri serta meletakkan hal berkaitan jenayah di bawah kawalan Persekutuan walaupun hal ehwal Islam dan perundangan Islam diisytiharkan sebagai kuasa autonomi negeri.
Rang Undang-Undang (RUU) berkenaan, telah dibentang oleh Menteri Tanah dan Galian pada ketika itu, YB Encik Abdul Rahman Yaakub (sekarang Tun Datuk Patinggi), seorang anak jati Negeri Sarawak. Beberapa Ahli Parlimen telah membahaskan RUU ini termasuk Ahli Parlimen Pasir Puteh, YB Encik Mohamed Asri bin Haji Muda yang telah mengajukan soalan kepada sidang Parlimen
“Tuan Yang di-Pertua, pengemukakan Rang Undang-undang yang mengenai Mahkamah Syariah ini, pada pandangan saya, adalah satu perchubaan yang baik dalam langkah awal bagi menyatukan kedudokan perjalanan Mahkamah Syariah di seluruh negara kita ini. Dalam pada itu, saya suka meminta jaminan daripada Menteri Yang Berhormat bahawa had-had sekatan bagi hukuman-hukuman yang paling berat di dalam kesalahan jenayah sebagaimana yang tercantum di dalam Fasal 2 dalam Rang Undang-undang ini bukanlah sebagai satu hak yang mutlak; yang saya maksudkan hak yang mutlak yakni mati, yang tidak akan dapat dipinda-pinda dan diubah-ubah lagi.”
Merujuk kepada Penyata Rasmi Parlimen pada ketika itu, telah dipetik sebagai berkata:
“Tuan Yang di-Pertua, Ahli Yang Berhormat daripada Pasir Puteh telah menimbulkan satu soalan, iaitu beliau berharap bahawa tingkatan hukuman yang tersebut didalam Clause 2 dalam Rang Undang-undang ini tidak merupakan satu tingkatan yang tidak boleh dipinda dan diubah dalam menggunakan perkataannya ialah bukan satu Undang-undang yang mutlak. Jawapannya ya, kerana Parlimen boleh membuat, Parlimen boleh mengubah Undang-undang, Parlimen boleh meminda Undang-undang, Parlimen boleh memansuhkan Undang-undang; itu jawapannya.
Kalau Parlimen berfikir di masa akan datang hukuman tersebut di dalam Clause 2 itu tidak menchukupi, ia boleh diubah.”
Setelah dibahaskan, RUU tersebut telah dipersetujui oleh semua Ahli Parlimen Dewan Rakyat. Dengan itu, bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah pada ketika itu meliputi Semenanjung Malaysia, kecuali Sabah dan Sarawak, dan kuasa hukuman ditetapkan pada kadar maksimum hukuman penjara tidak lebih dari 6 bulan dan denda tidak melebihi RM1,000.
19 tahun kemudian, Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 1984 telah dibentang (bacaan kali yang kedua), dibahas dan dipersetujukan oleh Dewan Rakyat pada 10, 11 dan 12 Oktober 1984 di Penggal Kedua, Parlimen Keenam. Pindaan itu telah dibentang oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada waktu itu, YB Dr. Mohamad Yusof bin Haji Mohamad Noor dengan dipetik kenyataan beliau sebagai berkata:
“Tuan Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan iaitu Suatu Akta untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 dibacakan kali yang kedua sekarang. Tuan Yang di-Pertua, pindaan yang dicadangkan ini adalah bertujuan untuk memperluaskan lagi bidang kuasa jenayah bagi membolehkan Mahkamah-mahkamah Syariah membicarakan kesalahan-kesalahan yang boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi 3 tahun atau apa-apa denda tidak melebihi $5,000 atau sebat tidak melebihi 6 kali atau apa-apa cantumannya berbanding dengan kuasa sekarang yang menghadkan kepada penjara 6 bulan atau dengan denda $1 ,000 atau keduaduanya sekali.”
Pada tahun 1989, Akta 355 sekali lagi dipinda untuk meluaskan pemakaiannya ke negeri Sabah dan Sarawak. Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan dan Perluasan) 1989 dibuat bacaan kali kedua (tiada ahli yang berbahas) dan dipersetujukan oleh Dewan Rakyat pada 24 Mac 1989 di Penggal Ketiga, Parlimen Ketujuh.
Seksyen 1(2) Akta 1965 dipinda dengan menggantikan perkataan-perkataan “ hanya bagi negeri-negeri di Malaysia Barat ” dengan perkataan-perkataan “ bagi semua Negeri di Malaysia”.
Pindaan ini adalah bertujuan memperluaskan pemakaiannya ke negeri-negeri Sabah dan Sarawak dan mengesahkan bidang kuasa yang telah dilaksanakan oleh mahkamah-mahkamah Syariah di kedua-dua negeri tersebut. Dalam kata lain, keputusan-keputusan Mahkamah Syariah berkuatkuasa secara kebelakangan (retrospective effect).
Pada 26 Mei 2016, Ahli Parlimen Marang, Yang Berhormat Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang telah diberi kebenaran oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat setelah Kerajaan bersetuju mendahulukan Usul Persendirian dalam Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat bagi mencadangkan satu Rang Undang-undang Ahli Persendirian (Private Members Bill) bernama Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 seperti berikut;
- Menggantikan Seksyen 2 dengan seksyen berikut;
“2. Mahkamah Syariah akan mempunyai kuasa ke atas seseorang penganut agama Islam dan di dalam hal-hal kesalahan di bawah perkara-perkara yang disenaraikan di dalam Butiran 1 Senarai Negeri di bawah Jadual Kesembilan, Undang-undang Persekutuan.”; dan
(ii) memasukkan selepas Seksyen 2 dengan seksyen berikut
(ii) memasukkan selepas Seksyen 2 dengan seksyen berikut
“2A. dengan menjalankan undang-undang jenayah di bawah Seksyen 2, Mahkamah Syariah berhak menjatuhkan hukuman yang dibenarkan oleh undang-undang Syariah berkaitan hal-hal kesalahan yang disenaraikan di bawah seksyen yang disebutkan di atas selain daripada hukuman mati.”
Penting juga untuk diperhatikan bahawa cadangan pindaan Akta 355 juga hanya melibatkan peruntukan kesalahan-kesalahan sedia ada dalam enakmen jenayah negeri-negeri dan sama sekali tidak melibatkan kesalahan-kesalahan jenayah di bawah Senarai Persekutuan.
Loading...
0 Response to "Kronologi Akta355 Sejak DiGubal, Rupanya Menteri anak jati Sarawak yang Bentang untuk Wujudkan"
Posting Komentar