Loading...
Muhyiddin berkata, nampaknya, lebih banyak persoalan yang mesti dijawab oleh Najib.
PETALING JAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu Datuk Seri Najib Razak yang baru-baru ini berkata 1MDB telah menjelaskan kesemua hutang bank dan jangka pendek agar membuat penjelasan secara “menyeluruh, jujur dan telus” berhubung beban hutang sebenar firma pelaburan yang dilanda kontroversi itu.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia berkata, kenyataan terbaru perdana menteri itu sengaja dibuat untuk mengabui mata rakyat seolahnya 1MDB telah terlepas daripada segala bebanan hutangnya.
“Perdana Menteri membuat kenyataan 1MDB telah membayar kesemua hutang jangka pendek dan jangka panjangnya berjumlah RM3 bilion sepanjang dua tahun lalu.
“Kenyataan ini sengaja dibuat untuk mengelabui mata rakyat seolahnya 1MDB telah terlepas daripada segala bebanan hutangnya,” kata bekas timbalan perdana menteri ini dalam satu kenyataan hari ini.
Muhyiddin yang digugurkan dari jawatan Kabinet dua tahun yang lalu berkata, “nampaknya, lebih banyak persoalan yang mesti dijawab oleh Najib.”
“Sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB yang mempunyai kuasa penuh dalam membuat keputusan mengenai setiap komitmen kewangan 1MDB, beliau bertanggungjawab untuk membuat penjelasan secara menyeluruh, jujur dan telus kepada rakyat,” kata beliau.
Menurut Najib, yang juga Menteri Kewangan I berkata, 1MDB yang pernah menanggung hutang sehingga RM50 bilion setakat bulan Januari 2016 telah menjelaskan semua hutang bank dan jangka pendek firma itu.
“Pada masa ini, 1MDB tidak mempunyai apa-apa hutang bank dan jangka pendek,” kata Najib dalam jawapan bertulis di Parlimen.
Menurut beliau, 1MDB telah membayar penuh kemudahan kredit RM229.5 juta kepada Affin Bank pada 23 November 2015, menjelaskan sepenuhnya kredit siap sedia bernilai RM950 juta kepada kerajaan pada 31 Mac 2016, membayar balik kemudahan pinjaman berjangka RM2 bilion kepada Marstan Investment NV pada 8 April 2016, dan menjelaskan kemudahan pembiayaan berjangka AS$150 juta dengan EXIM Bank pada 15 April 2016.
“Oleh kerana pelan rasionalisasi berterusan 1MDB, tiada aset baru yang diperolehi (oleh firma milik negara) di dalam dan di luar negara pada tahun 2015 dan 2016,” kata Najib.
Dalam kenyataannya Muhyiddin menambah, apa yang tidak dijelaskan oleh Najib ialah berapakah baki keseluruhan hutang dan tanggungan 1MDB pada masa ini.
“Pada tahun 2014, keseluruhan hutang dan tanggungan 1MDB berjumlah RM42 bilion dan meningkat kepada RM50 bilion pada tahun 2016,” katanya lagi.
Menurut beliau, Najib juga tidak menjelaskan jumlah semasa komitmen bon 1MDB yang ditanggung oleh kerajaan.
Komitmen ini biasanya dikelaskan sebagai tanggungan kontinjen oleh kerana bon tersebut dijamin kerajaan, kata beliau sambil menambah, “Najib gagal menjelaskan adakah 1MDB mempunyai sumber kewangan sendiri yang mencukupi untuk membayar kesemua hutang piutang ini tanpa bantuan daripada kerajaan.”
Menurut Muhyiddin, antara tanggungan 1MDB yang dijamin oleh kerajaan ialah bon sukuk berjumlah RM5 bilion yang akan mencapai tempoh matang pada tahun 2039, bon sukuk berjumlah RM2.4 bilion untuk Bandar Malaysia dan pinjaman daripada PERKESO berjumlah RM800 juta yang perlu dijelaskan keseluruhannya pada tahun 2022.
Selain itu, katanya, 1MDB juga mempunyai komitmen untuk melangsaikan AS$3 bilion bon antarabangsa yang akan matang pada tahun 2023 dan sejumlah AS$6.48 bilion komitmen hutang dalam pertikaian dengan International Petroleum Investment Company (IPIC) dan anak syarikatnya Aabar Investments PJS.
“Bagaimana hutang-hutang ini akan dibayar oleh 1MDB? Dari manakah 1MDB akan menjana sumber pendapatannya untuk membayar kesemua hutang ini setelah aset-aset strategiknya dijual dan wang miliknya berjumlah berbilion ringgit dilaporkan hilang?”
Kata beliau, Najib juga menyebut dalam kenyataan bertulisnya kepada Parlimen bahawa 1MDB telah menjelaskan hutangnya dengan Marstan Investments N.V berjumlah RM2 bilion pada bulan April tahun lalu.
“Apakah identiti syarikat ini dan siapakah pemiliknya? Apakah kaitan syarikat ini dengan Marstan Investments N.V LLC, sebuah ‘shell company’ yang ditubuhkan di Nevada pada tahun 2007 dan dibatalkan pendaftarannya pada bulan Mei 2013?”
Loading...
0 Response to "Muhyiddin cabar respons Najib 1MDB sudah jelas hutang bank, jangka pendek"
Posting Komentar