Loading...
RUU 355: Antara pejuang dan petualang
SHAH ALAM - Pas sekali lagi menegaskan cadangan pindaan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 adalah sebagai usaha umat Islam untuk mempraktikkan ajaran Islam seperti yang termaktub dalam al-Quran.
Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan berkata, ia menjadi kewajipan kepada umat Islam tanpa mengira latar belakang parti politik untuk memperjuangkan perlaksanaan syariat Islam sehingga ia dapat dipraktikkan di tanah air kita.
“Ahli parlimen Muslim pula mempunyai tanggungjawab langsung bagi memastikan perintah ALLAH SWT itu dapat dilaksanakan melalui pindaan Akta 355 yang akan dibentang dan dibahaskan di Parlimen kelak.
“Mereka yang insaf dan sedar tanggungjawabnya sebagai Muslim pula diberi mandat sebagai penggubal dasar maka mereka mesti berjuang dengan pelbagai keupayaan yang dimiliki untuk mencari 1001 jalan bagi melepasi segala halangan, kekangan dan cabaran yang dihadapkan kepada mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, mereka yang mengaku Muslim tetapi mencipta 1001 alasan untuk menyulitkan usaha perlaksanaan syariat Islam ini, malah merancang secara halus untuk menggagalkannya adalah sang petualang.
“Lebih malang, petualang ini merelakan diri untuk bersekongkol dengan musuh Islam dan suka menjadi ‘terompah kayu’ kepada golongan anti Islam untuk merencana pelbagai alasan dan hujah bagi menolak serta menggagalkan usaha mengangkat dan menobatkan syariat Islam dalam sistem perundangan negara.
“Kata nista, cercaan dan penghinaan kepada mereka yang berusaha dan berjuang untuk menegakkan Syariat Islam adalah suatu sunnah.
“Tiada apa yang perlu diresahkan oleh para pejuangnya. Hanya bersabar, berusaha dan bertawakkal kepada ALLAH SWT,” ujarnya.
Jelasnya, petualang ini dilihat tidak sedap duduk selagi tidak berjaya menggagalkan perlaksanaan syariat Islam melalui pindaan Akta 355.
“Raut wajah mereka jelas kelihatan gusar dan gelisah. Mereka kalut mencipta pelbagai tohmahan.
“Mereka berlumba-lumba untuk menonjol diri dalam memberi alasan kenapa perlaksanaan syariat Islam melalui pindaan Akta 355 ini wajar ditolak, supaya mereka mendapat tempat di mata golongan anti Islam,” katanya.
Beliau menambah, dengan menolak pindaan ini, pihak tersebut turut berharap akan dapat tiga atau empat kerusi untuk bertanding dalam pilihan raya kelak.
“Ada sebahagiannya tak sabar-sabar mempamerkan wajah gembira apabila terdapat satu dua perkara yang menjadi hujah untuk mereka ketengahkan kepada khalayak supaya usaha melaksanakan syariat Islam dengan meminda Akta 355 ini gagal.
“Mereka mahu dan suka jadi petualang. Bagi sang pejuang, oleh kerana usaha untuk meminda Akta 355 ini adalah untuk melaksanakan Syariat ALLAH SWT.
“Biar 1001 satu halangan dihadapkan kepada mereka, mereka tenang melangkah, berserah kepada ALLAH SWT,” katanya.
Sebelum ini, Akta 355 yang dibuat dalam Parlimen pada tahun 1965 dengan hukuman serendah enam bulan penjara dan RM1000 denda bagi kesalahan yang disenaraikan di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah.
Sejak pindaan 1984, hukumannya statik pada tiga tahun penjara, RM5000 denda dan enam kali sebatan.
Cadangan terbaharu adalah seperti memuktamadkan 100 kali (sebatan syariah) bagi kesalahan zina, 80 kali bagi kesalahan qazaf (tuduhan zina tanpa saksi).
Sementara 40 kali bagi kesalahan minum arak sebagaimana sabit di dalam hadis Nabi SAW.
Sementara jumlah hukuman RM100,000 denda dan 30 tahun penjara seperti yang dicadangkan dalam usul pindaan adalah jenis hukuman takzir yang terbuka kepada perbahasan bagi menentukan jumlah yang akan disepakati.
Loading...
0 Response to "PETUALANG HAPUSKAN DULU"
Posting Komentar