Loading...

Ahli gila jawatan lebih baik keluar awal sebelum menang PRU14 - Syed Saddiq

Loading...
Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Golongan yang terlalu mendambakan kedudukan dan jawatan di dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dialu-alukan untuk keluar sebelum pembangkang menang di dalam Pilihan Raya Umum ke-14.
 
Ketua Armada PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata demikian mengulas tindakan 1,000 pemimpin dan ahli-ahli parti itu di Perak yang keluar parti kerana tidak berpuas hati dengan pucuk kepimpinan.
 
Beliau percaya golongan berkenaan akan merencatkan matlamat dan perjuangan PPBM jika masih terus berada di dalam parti.
 
"Yang saya kesal ada beberapa ahli yang sangat baik, namun kerana terikut dengan beberapa figura politik yang keluar, maka mereka keluar sekali. Itu menyedihkan. 
 
"Saya hendak tekankan, mereka yang keluar kerana jawatan atau tidak dapat kuasa, itu dipersilakan untuk keluar. Kerana ia lagi susah apabila kita menang ke Putrajaya, maka individu inilah yang akan menyusahkan kita kerana mereka sertai PPBM kerana jawatan dan kuasa," demikian menurut Syed Saddiq ketika dihubungi Antarapos, hari ini.
 
Semalam Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata pihaknya tidak akan menghalang mana-mana ahli untuk mencari wadah perjuangan yang baru jika tidak serasi dengan asas perjuangan parti.
 
Kenyataan itu dibidas salah seorang bekas ahli PPBM, Kamarulazman Habibur Rahman yang mengingatkan kepimpinan parti itu agar tidak terlalu selesa meskipun mendakwa tidak terkesan dengan tindakan sebilangan ahlinya yang keluar parti dan meletakkan jawatan. 
 
Tegasnya barisan kepimpinan PPBM yang terdiri daripada mereka yang berpengalaman dan berpengaruh bukanlah jaminan utama terhadap kestabilan parti itu.
 
Kamarulazman sebelum ini mendakwa PPBM mengamalkan kronisme dan pilih kasih, selain menempelak sikap sesetengah pemimpin parti yang bekerja demi jawatan dan kedudukan.
 
Dalam masa yang sama, Kamarulazman juga mengingatkan pemimpin parti tidak memandang rendah kemampuan bekas ahli-ahlinya kerana golongan itu boleh bergabung mendedahkan segala kepincangan di dalam PPBM.
 
Diajukan gertakan bekas ahli majlis pimpinan tertinggi PPBM itu, Syed Saddiq menyerahkan segalanya kepada penilaian rakyat.
 
"Jika perkara itu terjadi biar rakyat sendiri yang menilai.
 
"Saya yakin sehingga kini tidak ada masalah yang besar. Biasalah mana-mana parti politik akan ada rintangan tersendiri. Namun PPBM sudah menempuhi rintangan tersebut. Jika (Kamarulazman) ambil pilihan keluar parti untuk menubuhkan gerakan tersendiri, itu haknya," ujarnya

Loading...

Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "Ahli gila jawatan lebih baik keluar awal sebelum menang PRU14 - Syed Saddiq"

Posting Komentar