Loading...

Gesaan percepat kelulusan naik gred langkah tepat - Timbalan Perdana Menteri

Loading...
ISKANDAR PUTERI 16 Mei – Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan gesaan Kementerian Pendidikan supaya Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mempercepatkan kelulusan menaikkan gred beberapa perjawatan dalam kementerian itu sebagai langkah yang tepat.

Timbalan Perdana Menteri berkata, keprihatinan itu bukan hanya untuk jawatan Pengarah Pendidikan negeri daripada Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) C ke JUSA B, malah turut diberikan kepada pegawai pendidikan dae­rah, pengetua dan guru besar serta guru penolong kanan.

“Guru-guru di luar bandar dan di kawasan terasing juga perlu diberi perhatian biarpun tidak diminta secara langsung, saya memahami bahawa permohonan itu perlu dilihat semula agar ia cepat diluluskan.

“Tetapi kita mempunyai kekangan yang perlu difahami, ia boleh diatasi jika kita berdoa, berusaha dan bertawakal kepa­da Allah selain sentiasa menambah produktiviti dalam kerja masing-masing,” katanya semasa me­lancarkan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2017 bertemakan Guru Pembina Negara Bangsa di Kompleks Sukan Educity di sini hari ini.
Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan dan Senator Datuk Chong Sin Woon.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Seri Alias Ahmad dan Ketua Pe­ngarah Pelajaran, Tan Sri Dr. Khair Mohamad Yusof.

Sementara itu, Ahmad Zahid menyarankan Kementerian Pendidikan supaya sentiasa prihatin dan mengambil peduli kebajikan guru-guru yang berusia 40 tahun ke bawah yang meliputi 48.7 peratus daripada 435,000 jumlah keseluruhan warga pendidik di negara ini.

Katanya, perasaan, emosi dan minat guru muda berkenaan harus difahami dan dititikberatkan kerana mereka yang bakal meneruskan tonggak pendidikan negara.

“Walaupun tidak pernah menjadi guru secara rasmi, tetapi saya memahami perasaan mereka kerana saya pernah menjadi guru kelas tambahan dan malam serta anak kepada seorang guru.

“Kita harus melihat golongan 48.7 peratus guru di bawah 40 tahun ini termasuklah perasaan dan minda mereka yang perlu difahami. Kementerian perlu membuka mata dalam perkara ini,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, beliau turut menggesa Kementerian Pendidikan supaya terus mengambil berat terhadap guru yang memohon supaya dipindahkan ke sekolah yang dekat dengan keluarga.

Menurutnya, guru-guru yang berdepan dengan masalah tersebut akan mengalami tekanan emosi dan menjejaskan produktiviti mereka dalam mengajar.

“Bagaimana hendak mengajar dengan baik kalau kita terpisah dengan suami dan anak-anak serta keluarga yang dikasihi.

“Kepedulian terhadap keper­luan guru ini perlu difahami dan saya yakin kementerian dan menterinya ikhlas terhadap permasalahan,” katanya.

Sumber: Utusan Online


Loading...

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :

0 Response to "Gesaan percepat kelulusan naik gred langkah tepat - Timbalan Perdana Menteri"

Posting Komentar