Loading...

Guru Oh Guru, keramat untuk insan bergelar cikgu

Loading...
MEMBICARAKAN tentang dunia pendidik serta sambutan hari guru yang sinonim sambutannya pada tanggal 16 Mei setiap tahun di seluruh negara tentulah tidak lengkap jika tidak disertakan dengan program deklamasi puisi atau bacaan sajak yang pastinya meruntun jiwa pendengar dan peminat genre sastera ini.

Justeru, sajak yang paling mendapat tempat bagi mengisi slot pada tanggal keramat yang dinanti-nantikan ini tiada lain adalah puisi karangan almarhum Sasterawan Negara, Datuk Usman Awang.

Apatah lagi puisi ini dianggap sebagai puisi legenda yang puitis serta penuh dengan nilai-nilai penghayatan yang tinggi.

Antara puluhan atau mungkin ratusan puisi bertema guru yang termuat dalam mana-mana buku antologi karangan penulis mapan atau baharu, sajak ‘Guru Oh Guru‘ nukilan Usman Awang pada tanggal 1979 ini tetaplah menjadi pilihan deklamator saat mengisi aturcara persembahan.

Sama ada pada peringkat sekolah, daerah, negeri hatta kemuncak sambutan di peringkat kebangsaan sajak keramat ini terus kekal menjadi pilihan untuk dilunakkan kata dan diungkapkan bicara yang indah bermetafora.

Apakah istimewanya sajak ‘Guru Oh Guru‘ yang sudah berusia hampir empat dekad ini?. Adakah masih bersesuaian setiap rangkap dan kalimah yang mengisi baris demi baris pada karya yang dianggap klasik dan agung ini?.

Inilah persoalan yang cuba dirungkai penulis bagi menzahirkan apa yang tersirat dalam karya yang penuh makna itu.

Sajak ini dimulakan dengan serangkap pantun yang termaktub peribahasa Melayu yang tersirat makna yang luas. Perhatikan.

Berburu ke padang datar

Dapat rusa belang kaki

Berguru kepalang ajar

Bagai bunga kembang tak jadi.



Usman Awang cuba mengajak pembaca menghayati pembayang pantun yang menerangkan betapa jika kita berburu di sebuah padang luas dan bukannya sebuah hutan rimba yang akan kita perolehi hanyalah sekadar belalang rusa yang tidak banyak manfaatnya.

Sedangkan di tengah belantara luas ada pelbagai haiwan termasuk rusa yang sudah tentu hasilnya lebih lumayan berbanding belalang rusa yang kakinya berbelang.

Hal ini memberi interpretasi betapa dalam dunia keilmuan, jika mencari ilmu di tempat yang betul dan di bawah asuhan guru yang benar-benar berkelayakan dan berketrampilan sudah pasti manfaat ilmunya lebih besar.

Jelaslah maksud pantun ini cuba menggambarkan andai berguru kepalang ajar tanpa disertai kesungguhan hasil yang diperolehi ibarat kuntuman bunga yang kembangnya tidak menjadi.

Dalam ranah pendidikan, pendidik yang komited dan pelajar yang memberi fokus dan tumpuan sepenuh hati dalam sesi pengajaran dan pembelajaran sudah tentu menghasilkan objektif yang maksimum.

Pada rangkap kedua dan ketiga, Usman Awang cuba menggambarkan imej seorang pendidik dengan apa sahaja gambaran yang mulia dan kudus.

Dialah pemberi paling setia

Tiap akar ilmu miliknya

Pelita dan lampu segala

Untuk manusia sebelum menjadi dewasa


Seorang pendidik tidak sekali-kali lokek atau kedekut untuk mencurahkan segala ilmu dan kemahiran yang ada. Kejujuran dan kesetiaan adalah dua sifat mulus guru saat berhadapan dengan anak-anak murid yang dahagakan ilmu pengetahuan.

Generasi hari ini memerlukan suluh cahaya di dikandari pada pelita dan lampu yang dipandu guru sebelum mereka berkecimpung dalam dunia kerjaya sesudah menempuh alam dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat

Alur kesetiaan mengalirkan nasihat

Pemimpin yang ditauliahkan segala umat

Seribu tahun katanya menjadi hikmat


Sudah tentulah di sekolah, guru mengambil peranan sebagai ibu dan juga bapa yang tidak jemu-jemu menabur nasihat dan pesan.

Justeru, setiap kata-kata pesanan atau pun sesekali bertindak mengenakan hukuman dan denda wajar dilihat dari sudut positif demi memastikan pelajar tidak tersongsang arah terjebak dengan aktiviti-aktiviti tidak bermoral.

Hal ini bertepatan dengan nilai dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang ingin melahirkan generasi berilmu dan berakhlak mulia. Beberapa isu yang melibatkan hukuman oleh guru terhadap murid yang dibangkitkan oleh ibu bapa perlu ditangani dengan kebijaksanaan agar hasrat melahirkan pelajar yang memiliki akal budi tinggi tidak terabai.

Menurut Sasterawan Negara Usman Awang, apa sahaja impian yang berjaya digapai oleh pelajar dalam dunia kerjaya hakikatnya bermula daripada seorang guru biasa.

Tanpa mengira seseorang itu dilabelkan sama ada sebagai guru Linus, guru pemulihan khas, guru prasekolah, guru sukan, guru muzik, guru bimbingan dan kaunseling mereka tetap mempunyai peranan dalam hierarki pendidikan di sekolah yang bermula dengan kemahiran asas iaitu tulis dan baca.

Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa

Dengan lembut sabarnya mengajar tulis baca..


Dalam isu penempatan guru yang sering menjadi perdebatan ramai, adalah wajar kita hayati pada dua baris terakhir pada rangkap kelima sajak ‘Guru Oh Guru’.

Usman Awang dalam puisi klasik ini memberi jawapan terhadap persoalan tempat bertugas betapa di mana pun guru ditempatkan di situlah mereka setia menabur budi dan menyumbangkan bakti demi pertiwi hatta di pendalaman jauh.

Semakin terpencil duduknya di ceruk desa

Semakin bererti tugasnya kepada negara


Rangkap terakhir sajak ini menjelaskan betapa sumbangan guru tetap terus dihargai masyarakat. Gelaran dan sanjungan akan terus diingati dan dikenangi meskipun seseorang guru itu sudah tiada lagi kembali ke alam abadi. Hakikat itu, bertepatanlah sambutan hari guru yang disambut di seluruh negara pada tanggal 16 Mei ini dengan tema unggul ‘Guru Pembina Negara Bangsa’.

Panggilan keramat ‘cikgu’ kekal terpahat

Menjadi kenangan ke akhir hayat.


Sumber: Utusan Online

Loading...

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :

0 Response to "Guru Oh Guru, keramat untuk insan bergelar cikgu"

Posting Komentar