Loading...
Saudara Pengarang,
PROFESION seorang guru pada hari ini diwarnai dengan 1,001 rencah dan kerenah. Realitinya untuk menjadi guru dalam abad ke-21 bukannya sesuatu yang mudah memandangkan cabaran hebat yang terpaksa ditempuhi sama ada melibatkan skop tugas, para pelajar mahupun persekitaran.
Namun begitu, percayalah seorang guru tetap berdiri teguh pada tempatnya demi memastikan para pelajar mereka menjadi orang yang berguna kepada agama, bangsa dan negara. Justeru, tidak hairanlah walau apa jua cabaran yang datang mereka tetap menjalankan tugas sebagai guru dengan penuh amanah dan tanggungjawab.
Seorang guru yang berasal dari Amerika Syarikat, Marva Collins pernah mengatakan: “Anda boleh membayar orang untuk mengajar, tetapi anda tidak boleh membayar mereka untuk mengambil berat (terhadap orang lain).”
Atas sebab itu kasih sayang guru terhadap para pelajarnya amat unik sekali. Dalam kelas mereka mengajar dengan penuh kesabaran. Sesekali terdengar intonasi suara guru berubah meninggi dan merendah mengikut suasana tetapi itu bukannya sekadar suka-suka bahkan teriakan tersebut bertujuan mendidik pelajarnya menjadi insan berguna.
Jika kita mengimbas kembali pada era 80-an sehingga akhir 90-an, apabila ibu bapa menghantar anak-anak ke sekolah, mereka menyerahkan seratus peratus amanah mendidik anak-anak mereka. Sekiranya anak-anak membuat kesalahan, guru akan diberikan kebenaran memberikan hukuman setimpal sebagai satu bentuk pengajaran.
Melalui pendekatan itu para pelajar pada zaman tersebut amat menghormati guru mereka. Ibu bapa pada zaman itu juga tidak akan melayan sebarang aduan yang dibuat oleh anak-anak mereka. Silap-silap ibu bapa akan tambah lagi hukuman.
Di sisi Islam kedudukan seorang guru adalah amat tinggi. Bahkan dalam satu hadis, Rasulullah SAW pernah bersabda: “Sebaik-baik kamu adalah mereka yang belajar al-Quran dan mengajarkannya.”- Riwayat al-Bukhari.
Apakah mesej yang mahu disampaikan oleh Rasulullah dalam hadis tersebut? Dalam hadis itu Rasulullah mengiktiraf kedudukan mereka yang mengajarkan ilmu al-Quran kepada orang lain. Dengan kata lain Islam meletakkan mereka yang bergelar guru dalam golongan sebaik-baik manusia.
Mengapa tidak? Melalui guru kita semua mendapat ilmu pengetahuan sama ada ilmu agama mahupun ilmu dunia dan siapa pun kita, gurulah yang menjadi pembimbing di saat mula-mula kita diperkenalkan dengan huruf A, B dan C serta alif, ba dan ta.
Sememangnya Islam meletakkan kedudukan guru pada tempat yang begitu tinggi. Tanpa mereka tidak mungkin kita berjaya seperti sekarang. Tanpa mereka tidak mungkin seseorang itu boleh menguasai pelbagai cabang ilmu hingga membolehkannya menggapai cita-cita.
Dalam perkembangan berkaitan, seorang guru di era ini perlu sentiasa memperbaharui kemahiran mereka. Ini memandangkan suasana sudah berubah dan mahu tidak mahu sistem pembelajaran serta pengajaran perlu seiring dengan perubahan itu.
Penggunaan pedagogi yang lebih kreatif dan selari dengan pengajaran serta pembelajaran abad ke-21 perlu diperhebatkan apatah lagi dengan pelaksanaan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) di sekolah-sekolah.
Melalui sistem KBAT, guru-guru berperanan menggalakkan pelajar-pelajar mereka mencari fakta-fakta dalam bahan bacaan lain termasuk jurnal, akhbar arus perdana, majalah akademik dan bahan bacaan lain daripada terlalu bergantung kepada buku teks. Komunikasi dua hala juga amat digalakkan dalam sistem KBAT ini.
Sebagai contoh guru yang mengajar subjek ekonomi. Guru yang mengajar subjek ini perlu mendedahkan pelajar-pelajar mereka tentang situasi semasa ekonomi yang mungkin tidak dibincangkan dalam buku teks. Salah satu caranya mengajar melalui keratan akhbar.
Tidak dinafikan mendepani sistem pendidikan zaman milenium ini sangatlah mencabar buat insan bergelar guru. Namun diharap perubahan yang berlaku itu tidak membuatkan guru-guru tertekan sebaliknya menjadi pembakar semangat kepada mereka untuk melahirkan generasi muda yang cemerlang di dunia dan di akhirat. Selamat Hari Guru.
HALIMAH HARIDI
Universiti Sains Islam Malaysia
Sumber: Utusan Online
Loading...
0 Response to "'Hebatnya insan bergelar guru...'"
Posting Komentar