Loading...
Foto via Utusan Online |
Itu prinsip yang dipegang oleh Yang Dipertua Majlis Pengetua Sekolah Menengah Malaysia (MPSM) apabila ditanya mengenai isu perpaduan dalam kalangan pelajar dewasa ini.
Menurut Jamaludin Yaacob, isu perpaduan antara kaum di negara ini adalah isu penting yang sering dan hangat dibincangkan apabila timbul pelbagai isu yang menggugat keharmonian.
Pengetua Cemerlang Sekolah Menengah Sains Tun Syed Sheh Shahabudin (SMSTSSS) itu mengakui Kementerian Pendidikan telah lama melaksanakan program RIMUP atau Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan di peringkat sekolah rendah lagi.
Namun, katanya, usaha menggalakkan perpaduan itu seakan-akan terhenti apabila pelajar meninggalkan alam persekolahan dan membawa haluan masing-masing sama ada menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi atau mencari pekerjaan.
Selepas tamat persekolahan, ujar beliau, aspek penyatuan antara kaum itu seolah-olah terputus dan setiap pelajar membawa haluan sendiri sehingga wujudnya pelbagai isu yang boleh menggugat keharmonian.
“Isu perpaduan ini sentiasa diambil cakna oleh pihak sekolah, malah selaku YDP MPSM, perkara ini menjadi topik utama yang sering dibincangkan supaya tidak berlarutan.
“Pada saya, isu menggalakkan integrasi antara kaum ini tidak harus terhenti pada satu tahap sahaja dan semua pihak tidak boleh berpuas hati sekadar melihat anak-anak pelbagai kaum duduk semeja makan bersama atau mengulang kaji pelajaran dalam satu kumpulan,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Tanpa berselindung, Jamaludin mengakui isu perpaduan dalam kalangan lepasan sekolah agak kritikal sehingga banyak isu kecil melibatkan perbezaan pendapatan antara kaum menjadi tular dan diperbesar-besarkan.
Jelasnya, toleransi serta komunikasi antara kaum yang membentuk keharmonian dan menggalakkan keamanan sepatutnya diteruskan seperti yang dilaksanakan dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sebelum ini.
“PLKN adalah salah satu contoh terbaik menggalakkan perpaduan dan rasa kebersamaan antara kaum kerana sepanjang program itu mereka melakukan semua aktiviti bersama dan meletakkan perbezaan di luar kem.
“Selepas sekolah, program-program melibatkan semua lapisan masyarakat ini harus diteruskan oleh Kementerian Belia dan Sukan serta kementerian lain secara aktif,” ujarnya.
Jamaludin berkata, jika dilihat di negara lain seperti Jepun dan Korea Selatan, aspek perpaduan bercambah sejak di peringkat sekolah rendah dan berterusan biarpun selepas mereka masuk ke alam pekerjaan.
Ketika ditanya apakah harapan beliau yang masih belum selesai sebagai YDP MPSM, ujar Jamaludin, beliau mahu pentadbir sekolah meletakkan aspek perpaduan sebagai impian bersama oleh semua sekolah.
Selain itu, katanya, program seperti RIMUP harus diteruskan sama ada di peringkat mikro di sekolah, makro di peringkat daerah seterusnya mega melibatkan penyertaan seluruh negeri dan negara.
“MPSM tidak harus berhenti setakat untuk menggalakkan perpaduan malah perjuangan ini perlu dilaksanakan di semua sekolah dan pusat pengajian,” katanya.
Sumber: Utusan Online
Loading...
0 Response to "Tangani isu perpaduan dengan bijaksana dan berhikmah - MPSM"
Posting Komentar