Loading...
Foto via Utusan Online |
Guru pula saban hari diberi pelbagai harapan oleh banyak pihak. Segala macam keperluan yang mendesak sama ada dari segi tuntutan ilmu dan kemahiran baharu atau sikap dan amalan telah memberi tekanan besar kepada profesion keguruan. Perubahan kurikulum yang berlaku seiring tuntutan zaman umpamanya menuntut guru untuk meneroka ilmu dan kaedah baharu bagi memastikan sentiasa kekal relevan.
Para guru sedar bahawa penggubalan kurikulum adalah satu proses yang bersifat futuristik agar pelajar dididik bersesuaian dengan zaman dan masa depan mereka. Perubahan dalam kurikulum juga sering menjadi tanda tanya masyarakat awam dan keadaan ini memberi tugas sosial kepada guru untuk menenteramkan keadaan serta menghuraikan kekeliruan masyarakat tentang ‘sifat’ kurikulum.
Bukan mudah untuk memberi kesedaran terhadap masyarakat tentang keperluan perubahan kurikulum kerana adakalanya maklumat yang disampaikan adalah berbentuk abstrak dengan tahap pengetahuan aras tinggi.
Perkembangan pesat teknologi maklumat dan komunikasi di negara ini turut memberikan guru cabaran besar kepada guru. Pelbagai maklumat yang tersebar menerusi internet sering mencabar amalan harian kehidupan. Aturan-aturan hidup yang bersulamkan nilai setempat jika dahulu cukup sekadar menentukan had sempadan tanpa banyak persoalan dan bantahan, tapi kini ia dipersoalkan dengan pelbagai ragam.
Anak-anak generasi baharu memerlukan justifikasi tentang tindak-tanduk mereka agar mereka membuat pilihan yang tepat. Situasi ini menimbulkan konflik nilai yang menjadikan guru sebagai pengadil.
Hari ini, tugas guru bukan sekadar penyampai ilmu dan maklumat sahaja malah lebih daripada itu. Pertelingkahan interpersonal dan konflik sosial di sekolah umpamanya memerlukan guru bertindak umpama penyiasat, pengadil, kaunselor dan pengurus.
Kesilapan dalam membuat keputusan dalam menyelesaikan konflik boleh membawa kepada natijah yang buruk. Percanggahan fakta dalam subjek akademik pula menuntut guru untuk bertindak sebagai penilai dan mengambil peranan untuk authentication ilmu. Tugas hakiki guru dalam mendidik telah dihimpit dengan kepelbagaian tugasan pengurusan dan pentadbiran.
Istilah tugasan pekeranian guru sering kedengaran dalam meluahkan rasa tentang kepenatan terhadap menguruskan pelaporan sama ada yang berbentuk digital mahu pun manual. Cabaran sedemikian pada hakikatnya bukan sahaja didepani guru malah turut dirasai sektor perkhidmatan lain.
Walau bagaimanapun, cabaran ini dilihat kian berkurangan apabila kadar celik teknologi maklumat dalam kalangan guru yang makin tinggi. Ramai guru telah bijak menyusun tugasan tersebut dengan efisien.
Perkembangan teknologi global ini turut membuka ruang baru dalam pembelajaran. Internet telah menjadi medium yang membuka medan pembelajaran merentasi sempadan fizikal. Penggunaan aplikasi YouTube telah menghidangkan pelbagai bahan untuk dipelajari. Kuliah-kuliah agama dalam pelbagai mazhab, bahasa dan perspektif telah memberi tamparan hebat kepada maklumat dalam buku teks di sekolah.
Hukum-hakam yang dikeluarkan oleh individu menerusi YouTube telah memberi cabaran kepada guru agama di sekolah untuk memberi kefahaman yang bersifat fundamental kepada pelajar agar ia menjadi sandaran utama dalam pembuatan keputusan berkaitan hukum-hakam. Hakikatnya, hukum-hakam dalam agama pastinya didasari dengan asas ilmu yang cukup kuat.
Selain cabaran kandungan ilmu dan maklumat menerusi internet, para guru turut berhadapan dengan pedagogi alaf baharu yang memerlukan pengintegrasian pintar antara pengajaran semuka dengan penggunaan teknologi maklunat dan komunikasi.
Banyak sekali aplikasi pembelajaran yang menuntut kemahiran pedagogi alaf baharu. Pakar pembelajaran abad ke-21, Profesor Datuk Dr. Norazah Mohd. Nordin dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mendedahkan bahawa pelajar alaf baharu cenderung untuk menjadikan pembelajaran lebih bersifat persendirian dan mereka mahu sentiasa dihubungkan.
Menurut beliau lagi, para pelajar yang adalah natif kepada gajet moden ini memerlukan guru yang kreatif dan sering melakukan inovasi dalam penyampaian ilmu. Namun, sejauh mana guru-guru mengambil tahu tentang perkara ini perlu dilakukan penyelidikan lebih lanjut.
Biarpun banyak usaha dan sokongan disediakan pelbagai pihak, inisiatif guru dalam menjayakannya amat penting. Analisis beliau terhadap penggunaan teknologi maklumat seluruh dunia mendapati bahawa Malaysia adalah antara negara yang paling aktif pengaksesan kepada pelbagai aplikasi dan gajet media sosial.
Justeru, kurikulum pendidikan guru perlu sentiasa ditambah baik dengan memberi perhatian terhadap kompetensi guru pelatih untuk menguasai ilmu dan kemahiran ini. Pelbagai latihan yang menggabungkan antara teknologi dan kaedah pengajaran sedia perlu diberi perhatian khusus.
Perkembangan baik adalah apabila ramai guru didapati bertindak positif dalam meningkatkan ilmu serta kemahiran mereka terhadap aspek ini menerusi penglibatan aktif mereka dalam pelbagai program Latihan Dalam Perkhidmatan (LADAP).
Perlu disedari bahawa cabaran kehidupan merentasi zaman adalah cabaran kepada profesion keguruan, bukan sahaja di Malaysia malah turut didepani oleh guru di negara lain. Reaksi positif guru untuk sentiasa komited dalam mendidik anak bangsa biarpun pelbagai cabaran melanda adalah bukti kemuliaan profesion ini sekali gus memartabatkan lagi keprofesionalan kerjaya keguruan.
Manfaatkan teknologi maklumat dan komunikasi untuk mendidik generasi baharu. Selamat Hari Guru untuk semua pendidik!
DR. MOHD. MAHZAN AWANG ialah Timbalan Ketua Pusat Kepelbagaian Pelajar dan Pembangunan Komuniti, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Loading...
0 Response to "Tekanan Profesion Keguruan Alaf Baru Perlu Reaksi Positif"
Posting Komentar