Loading...
KUALA LUMPUR: PAS menolak menyertai siri jelajah dan perhimpunan berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dirancang oleh Pakatan Harapan diketuai DAP bermula Julai ini.
Perkara itu ditegaskan Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed berikutan beberapa siri serangan dan tohmahan yang dilemparkan oleh parti-parti dalam gabungan pakatan itu terhadap PAS sebelum ini.
“Sebelum ini hentam kita, sekarang ajak sertai perhimpunan pula.
‘‘Terima kasihlah sebab jemput tetapi PAS ada cara tersendiri untuk membawa perkara itu (isu 1MDB), kita ada blok ketiga bersama Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan),’’ sindir beliau.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Pakatan Harapan semalam menjelaskan, jelajah memberi penerangan mengenai apa yang didakwa sebagai skandal 1MDB akan diadakan di seluruh negara dengan kemuncaknya penganjuran perhimpunan pada September nanti.
Berikutan itu, kepemimpinan gabungan parti diketuai DAP itu telah meminta kesemua parti pembangkang termasuk PAS untuk mengetepikan segala perbezaan dan bekerjasama membabitkan isu 1MDB menerusi Perhimpunan Hapuskan Kleptokrasi yang bermula dengan siri jelajah bulan depan.
Dalam pada itu, Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan di dalam satu kenyataan pula menegaskan bahawa parti itu mempunyai polisi dan pendekatan tersendiri dalam merealisasikan strategi serta perjuangannya.
‘‘Tidak terikat dengan mana-mana pihak, demikian juga tidak terkesima dengan gerak tari (penganjuran siri jelajah dan perhimpunan) pihak yang mempunyai agenda mereka sendiri,’’ jelas beliau.
Ketua Dewan Pemuda PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi pula berkata, beliau sendiri tidak jelas dengan matlamat dan hala tuju perhimpunan anjuran Pakatan Harapan diketuai DAP itu.
‘‘Apa pun kita akan menunggu arahan daripada PAS Pusat dan perkara itu mungkin akan dibincangkan dulu, tetapi PAS mempunyai mekanisme sendiri dalam soal ini,’’ katanya.
Loading...
0 Response to "PAS tolak jelajah pembangkang"
Posting Komentar