Loading...
Oleh Athirah Hanapiah & Shuhaniza Said
SHAH ALAM: Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Hamidah Osman menegaskan bahawa gesaannya agar lembaga disiplin parti mengambil tindakan terhadap Ketua Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, kerana tidak mahu melihat parti itu hancur.
Sambil menafikan tindakannya itu seolah-olah 'mengugut' pemimpin muda berkenaan, tegas Hamidah, beliau melakukannya kerana tidak mahu pemimpin menyerang sesama sendiri sehingga menjejaskan imej parti tersebut.
"Pemimpin perlu ambil tindakan jika betul-betul sayangkan parti. Sebab jika berterusan berlaku serang menyerang antara pimpinan, saya rasa, parti akan hancur.
"Dan ini akan melemahkan semangat ahli dan ini akan memberi kekuatan kepada Umno-BN, jadi perkara ini perlu dihentikan," katanya kepada Antarapos.
Semalam, Syed Saddiq berkata beliau tidak gentar dengan ancaman Hamidah yang mahu mengheretnya ke lembaga disiplin.
Malah tambah Syed Saddiq, beliau bersedia menghadap lembaga disiplin kerana mengetahui perkara sebenar, selain mempunyai bukti atas dakwaannya terhadap Hamidah sebelum ini.
Terdahulu, Hamidah berkata akan menulis surat rasmi kepada lembaga disiplin PPBM agar tindakan diambil terhadap Syed Saddiq yang didakwa membuat tuduhan tidak berasas.
Loading...
0 Response to "Bukan ugut, tapi tak mahu lihat parti hancur - Hamidah"
Posting Komentar