Loading...

[IKUT SKRIP] RUU355 mungkin tangguh ke Oktober, Hadi perlu berehat

Loading...

16 JULAI: Pembentangan usul rang undang-undang persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau RUU 355 mungkin ditangguhkan sehingga Oktober.
Ini kerana Ahli Parlimen PAS Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang besar kemungkinan tidak dapat menghadiri Dewan Rakyat yang akan bersidang semula 24 Julai ini.
Anak sulung presiden PAS itu, Khalil Abd Hadi memberitahu Sin Chew Daily, bapanya masih memerlukan satu hingga dua bulan untuk berehat selepas menjalani pembedahan penggantian injap di Institut Jantung Negara (IJN) pada 16 Mei lalu.
“Saya rasa kemungkinan besar beliau tidak dapat menghadiri sidang Dewan Rakyat seterusnya,” kata ketua Pemuda PAS itu kepada akhbar berkenaan.
Mengikut peraturan mesyuarat, mana-mana ahli Parlimen berhak membentangkan usul RUU persendirian, tetapi mereka perlu mendapat kebenaran speaker Dewan Rakyat dan membentangkan usul itu sendiri.
Rabu lalu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan sebulat suara meluluskan rang undang-undang Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 (Pindaan 2017) yang antara lain membolehkan hukuman sebat dijalankan di khalayak ramai.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dilaporkan berkata, RUU itu merupakan sebahagian daripada persiapan melaksanakan RUU 355, jika diluluskan di Parlimen kelak.
Bagaimanapun, RUU 355 mungkin hanya disenaraikan dalam Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat, tetapi tidak akan dibentangkan di Dewan Rakyat.
Pada 6 April lalu, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia memutuskan perbahasan RUU 355 ditangguh ke sidang Dewan Rakyat seterusnya, selepas dibentangkan Hadi.
Ia disusuli beberapa wakil rakyat PH bangun mempersoalkan tindakan Pandikar menangguhkan sesi Dewan Rakyat tanpa memberi laluan untuk perbahasan.
Hadi bagaimanapun memuji tindakan Pandikar, dan berkata ia memberikan peluang RUU itu dibahaskan lebih terperinci apabila Dewan Rakyat bersidang pada Julai, sambil menyifatkan kaedah yang digunakan PAS sebagai “proses demokrasi paling lembut perjalanannya”.
Pandikar memberi alasan beliau menggunakan kuasanya untuk menangguhkan sesi perbahasan itu kerana kakitangan Parlimen tidak cukup rehat memandangkan pada 5 April, sehari sebelum RUU 355 dibentangkan, persidangan Dewan Rakyat berlangsung hampir 20 jam bermula dari 10 pagi hingga 5.50 pagi keesokannya.
RUU 355 pertama kali dibentangkan Ahli Parlimen PAS Marang itu pada Mei 2016 dan kali ke-2 pada November lalu yang mencadangkan hukuman penjara ke atas pesalah syariah ditambah kepada 30 tahun, denda maksima RM100,000 dan sebat 100 kali berbanding maksimum 3 tahun penjara, denda RM5,000 dan 6 sebatan yang boleh dijatuhkan Mahkamah Syariah ketika ini.
Loading...

Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "[IKUT SKRIP] RUU355 mungkin tangguh ke Oktober, Hadi perlu berehat"

Posting Komentar