Loading...

Korea Selatan kagum kursus kemahiran kolej vokasional dalam negara

Loading...
KARTENI OSMAN (enam dari kiri) dan Myunghee Lee (lima dari kiri)
bersama-sama delegasi Sekolah Menengah Rendah Incheon Yangchon,
Korea Selatan dan warga Kolej Vokasional Kuala Selangor
dalam majlis penutup Program Lawatan Sekolah Korea-Malaysia
di Kuala Selangor, baru-baru ini.
Sekolah Menengah Rendah Incheon Yangchon, Korea Selatan tertarik dengan pelbagai kursus kemahiran yang dilaksanakan secara hands-on di Kolej Vokasional Kuala Selangor ketika mereka mengadakan lawatan ke kolej itu, baru-baru ini.

Guru sekolah itu, Myunghee Lee berkata, pihaknya kagum de­ngan keberkesanan kursus kemahiran yang dilaksanakan dalam mem­bangunkan tenaga kerja yang menepati keperluan industri.

“Kami terpegun menyaksikan keupayaan dan kemahiran pelajar Kolej Vokasional Kuala Selangor yang dapat membaiki kenderaan dan jentera berat dengan mudah pada usia yang masih muda,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam lawatan sempena Program Lawatan Sekolah Korea-Malaysia di Kolej Vokasional Kuala Selangor yang turut disertai Timbalan Pengarah (Pengoperasian Sekolah), Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional (BPTV), Kementerian Pendidikan, Karteni Osman.

Dalam program selama se­ming­gu itu, Myunghee dan 10 pe­lajarnya mengikuti pelbagai aktiviti berbentuk akademik, kebudayaan dan lawatan ke tempat tumpuan pelancong.

Kesempatan itu menjadi platform terbaik untuk pelajar terbabit mempelajari keunikan adat, budaya serta tradisi masyarakat berbilang kaum di negara kita dengan lebih menyeluruh.

Sementara itu, Karteni berkata, program sebegini dapat mem­promosikan keberkesanan produk kolej vokasional ke luar negara.

“Diharap program ini dapat diteruskan pada masa depan de­ngan membawa pelajar kolej vokasional ke luar negara supaya mereka dapat melihat sendiri perkembangan industri, pasaran dan peluang kerjaya yang ditawarkan di peringkat antarabangsa secara lebih dekat,” katanya.

Menurut Karteni, ini merupakan salah satu inisiatif pendidik Kolej Vokasional Kuala Selangor yang pernah mengikuti program pertukaran guru di Korea Selatan.

“Saya dimaklumkan pihak Kolej Vokasional Kuala Selangor juga sudah mengatur program sama untuk pelajarnya ke Korea Selatan pada tahun hadapan,” katanya.

Sumber: Utusan


Loading...

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :

0 Response to "Korea Selatan kagum kursus kemahiran kolej vokasional dalam negara"

Posting Komentar