Loading...

Kementerian Kesihatan jawab tuduhan tangguh rawat lelaki Singapura

Loading...
ANTARAPOS.COM
Post Pic
 
 
PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan hari ini menyangkal laporan media Singapura yang mendakwa Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru menangguhkan rawatan dan imbasan perubatan sewajarnya kepada seorang rakyat negara itu yang merupakan mangsa langgar lari, sehingga mendapat bayaran tunai.
 
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pemuda berusia 25 tahun itu yang cedera parah, diberikan rawatan kecemasan pada kadar segera tanpa sebarang desakan untuk bayaran deposit terlebih dahulu.
 
Katanya, warga Singapura itu yang dalam keadaan kritikal, terus dimasukkan ke Zon Merah di Jabatan Kecemasan HSA dan diberikan rawatan kecemasan sejajar protokol Sokongan Nyawa Trauma Lanjutan (ATLS) yang sudah dimulakan dalam ambulans.
 
“Pasukan Jabatan Kecemasan juga memulakan pengimejan yang perlu (x-ray, imbasan otak CT, serviks dan toraks), rawatan (termasuk intubasi) dan rujukan kepada pasukan berkaitan secara profesional dan dalam masa singkat, tanpa meminta sebarang deposit memandangkan ia adalah kes kecemasan.
 
“Disebabkan kecederaan otaknya, pesakit itu dirujuk kepada pasukan pembedahan saraf dengan perancangan untuk nyahmampatan kraniektomi segera, pengeluaran darah beku dan pemantauan tekanan intrakranial, tanpa meminta deposit,” katanya dalam kenyataan.
 
Semalam, The Independent melaporkan Justinian Tan meninggal dunia selepas HSA menangguhkan rawatan dan imbasan ke atasnya sehingga mendapat bayaran tunai.
 
Tan dilaporkan bersama 5 rakannya berjalan ke kereta mereka kira-kira jam 3 pagi, selepas selesai makan lewat malam. Sebuah Proton Saga melarikan diri, selepas merempuh mereka.
 
Tan yang tidak sedarkan diri kemudiannya menggigil, batuk berdarah dan sukar bernafas.
 
Rakan Tan yang dipetik portal berita itu berkata, pihak berkuasa lambat bertindak, dengan ambulans hanya tiba 30 minit kemudian, walaupun jarak tempat kejadian dengan hospital hanya 5km atau 9 minit perjalanan, berdasarkan kiraan Google Maps.
 
Dr Hisham bagaimanapun menafikan dakwaan itu dengan berkata, rekod perkhidmatan ambulans menunjukkan sebuah ambulans dikerahkan ke tempat kejadian 2 minit selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 2.57 pagi, 25 Ogos lalu.
 
Beliau memuji tindakan pantas ambulans itu yang tiba di tempat kejadian dalam masa 13 minit, iaitu pada jam 3.10 pagi dan bergegas ke HSA dengan pesakit 5 minit kemudian.
 
Dr Hisham berkata, dakwaan rakan mangsa yang HSA meminta bayaran RM1,350 untuk melakukan imbasan dan satu lagi bayaran sebanyak RM1,350 untuk membuang “pendarahan dalam otak” Tan, juga tidak benar.
 
Beliau mempertahankan HSA bertindak sejajar dasar Kementerian Kesihatan mengikut Pekeliling Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan bertarikh 4 Mac 2015 berhubung bayaran deposit untuk warga asing di hospital kerajaan.
 
Katanya, ahli keluarga Tan hanya diminta membayar kos pengimejan berjumlah RM2,575 setiba mereka di HSA.
 
Bagaimanapun, katanya, ahli keluarga mengeluarkan Tan atas risiko sendiri (AOR) untuk dihantar ke sebuah hospital di Singapura, selepas memahami risiko yang perlu ditanggung mereka kerana menangguhkan pembedahan ke atas mangsa.
 
“Kementerian Kesihatan menggesa semua pihak berkaitan bertanggungjawab dalam laporan dan ulasan lanjut kerana mengeluarkan maklumat tidak tepat serta kenyataan tidak berasas boleh menimbulkan salah faham dan menjejaskan keharmonian.
 
“Kementerian Kesihatan sentiasa menghargai nyawa dan melakukan yang terbaik untuk merawat mana-mana pesakit, tanpa mengira latar belakang atau kerakyatan mereka.
 
“Ini sejajar etika dan budaya korporat Kementerian Kesihatan, iaitu ‘Penyanyang, Profesionalisme dan Kerja Berpasukan’ serta ‘Kami Sedia Membantu’,” katanya.
 
Tan yang merupakan anak ke-3 daripada 4 beradik itu disahkan mati otak pada jam 5.56 petang Isnin lalu. Kelmarin, ibu bapanya membenarkan doktor mencabut sistem sokongan hayatnya.
 
 
 
Loading...

Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "Kementerian Kesihatan jawab tuduhan tangguh rawat lelaki Singapura"

Posting Komentar