Loading...
- MALAYSIAKINI
Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng hari ini menawarkan perkhidmatannya kepada artis yang membuat persembahan semasa majlis penutup Sukan SEA 2017 (KL2017) tetapi tidak menerima bayaran walaupun dua bulan sudah berlalu.
“Sikap agensi kerajaan tidak mengambil peduli untuk memastikan mereka yang berhak mendapat bayaran yang sepatutnya perlu dikecam keras.
“Sekiranya pihak kerajaan masih melengah-lengahkan bayaran, sebagai ahli parlimen saya bersedia untuk memberikan khidmat kepada mereka yang terjejas bagi mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak berwajib,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Isu bayaran untuk artis yang membuat persembahan penutup Kuala Lumpur 2017 menjadi perhatian selepas pelakon, pengacara dan selebriti Adibah Noor membangkitkannya di media sosial, minggu lalu.
Kata Adibah dia sedih mendengar keluhan rakan artisnya kerana belum menerima bayaran selepas persembahan - yang mendapat pujian ramai itu - berakhir.
"Alasan: sibuk dengan #Bajet2018. Segerakanlah," katanya di Twitter.
Bernama semalam melaporkan Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC) Kuala Lumpur 2017 telah melunaskan pembayaran lebih 70 peratus daripada nilai kontrak syarikat yang dilantik menerusi proses tender Kementerian Belia dan Sukan bagi penganjuran Sukan SEA Kuala Lumpur dan Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur pada 28 Ogos lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Kuala Lumpur 2017, Datuk Seri Zolkples Embong berkata, MASOC menetapkan sasaran melunaskan semua pembayaran kepada pihak yang berkenaan selewat-lewatnya sehingga hujung November ini.
Mengulas lanjut, Lim yang juga adalah seorang peguam turut membidas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang dakwanya, langsung tidak bersuara sepanjang masa hal ini dibangkitkan di media sosial.
“Sikap agensi kerajaan tidak mengambil peduli untuk memastikan mereka yang berhak mendapat bayaran yang sepatutnya perlu dikecam keras.
“Menteri sewajarnya menggantung gaji pegawai bertanggungjawab sehingga semua bayaran dilangsaikan. Baru dia tahu bagaimana rasanya bekerja tanpa mendapat bayaran,” katanya.
Menurut pemimpin DAP itu, apa yang berlaku amat-amat memalukan negara di persada industri hiburan antarabangsa.
Lim turut mempersoalkan selain artis, berapa ramai lagi yang belum menerima bayaran, termasuk para kontraktor yang bertungkus lumus menjayakan KL2017.
“Khabarnya sukarelawan yang dijanjikan token untuk penat lelah mereka setelah menanggung perbelanjaan pengangkutan sendiri untuk berulang alik ke tempat acara masing-masing juga belum menerima token yang dijanjikan,” katanya.
Untuk rekod temasya dua tahun sekali itu berlangsung di Kuala Lumpur antara 19 Ogos hingga 30 Ogos.
Pada majlis penutup sejumlah penyanyi diundang membuat persembahan. Antara mereka, termasuk Zainal Abidin, Ella, Amy Search, Datuk David Arumugam, Siti Nordiana, Faizal Tahir, Francissca Peter dan Hijjaz.
Malaysia mencatat kejayaan gemilang dengan pungutan 145 pingat emas, 92 perak dan 86 gangsa. Ia membolehkan negara ini menjadi juara keseluruhan mengatasi pencabar terdekat - Thailand - dengan perbezaan 73 pingat emas.
Loading...
0 Response to "MP tawar khidmat bantu artis KL2017 dapat bayaran"
Posting Komentar