Loading...
Berikut adalah mesej Sdr Rafizi Ramli, 3 Disember 2017 :
Esok (Isnin, 4 Disember 2017) saya akan masuk kandang saksi untuk memberi keterangan dalam perbicaraan kes BAFIA akibat pendedahan skandal NFC satu ketika dahulu.
Perbicaraan di pihak pembelaan bermula esok (di Mahkamah Sesyen 6 Shah Alam, Tingkat 8 jam 9 pagi) dengan saya menjadi saksi untuk membela diri. Kes ini dibicarakan dihadapan hakim mahkamah sesyen Zamri Bakar dan pendakwaan oleh Lailawati Ali dan Steve Chin. Saya dibela secara percuma oleh sahabat-sahabat baik saya Ahmad Nizam Abdul Hamid dan Falihin Kamil Mohamed Sazali.
Saya dituduh membocorkan maklumat sulit perbankan Dato' Seri Salleh Ismail dan syarikat milik keluarga Dato' Seri Shahrizat Jalil (Ketua Wanita Umno) yang melanggar Akta Bank dan Institusi Kewangan.
Jika didapati bersalah, saya boleh didenda sehingga RM3 juta dan dipenjarakan sehingga 3 tahun, atau kedua-duanya sekali.
Saya adalah orang pertama yang dituduh di bawah seksyen BAFIA mengenai kerahsiaan perbankan ini.
Skandal NFC adalah skandal pertama yang menemukan saya dengan rakyat Malaysia. Skandal ini juga meyakinkan saya perlunya saya menghulurkan leher saya untuk disembelih jika itu harganya agar rakyat tidak lagi boleh dilembukan.
Semangat itu yang mengajar saya pasrah menerima risiko membolehkan saya menyiasat dan membongkarkan kesemua skandal-skandal besar lain, dari 1MDB kepada skandal kewangan Tabung Haji, MARA, LTAT, Felda, salah guna geran penyelidikan dan banyak lagi.
Saya hanya minta saudara-saudari yang faham dan bersetuju bahawa inilah amanah yang saya pikul, untuk terus berdoa agar saya melalui ujian Allah ini dengan tenang dan senyum, seperti mana saya telah berjaya melalui yang sebelum-sebelum ini hingga ke hari ini.
Hidup kita hanyalah satu lukisan kain putih yang panjang, warna-warninya ditentukan bagaimana kita melalui ujian yang Allah tetapkan untuk kita: ujian untuk menguji prinsip kita, keberanian kita berkata benar, kecekalan kita walau semua mencaci kita, ketenangan kita kerana kita tahu Allah Maha Melihat semunya.
Rafizi Ramli
Loading...
0 Response to "KES BAFIA MASUK PERINGKAT AKHIR, HUKUMAN DALAM BEBERAPA BULAN"
Posting Komentar